Friday, December 20, 2013

Pesan dari mimbar




Khatib tadi rasanya khatib baru, masih belum sempat tahu namanya. Dia menyentuh soal taqwa.

Setiap minggu pada hari Jumaat kita diingatkan dengan pesan dari mimbar: ittaqullaha haqqa tuqaatih. bertaqwalah kamu dengan sebenar-benar taqwa. Dan dilanjutkan dengan: wa laa tamuutunna wa antum muslimun.

Sejauh mana kita memaknai kata 'taqwa' dalam kehidupan kita hingga saat ini? Lantas tanpa kita sedari bahawa kata 'taqwa' yang kita dengari setiap minggu itu rupa-rupanya telah kehilangan ertinya.

Jadi menelusuri pesan Allah dalam surah 'Ali Imran ayat ke 17, kita mendapati bahawa ada 5 tanda aras bagi mendaki darjat ketaqwaan.

ٱلصَّـٰبِرِينَ وَٱلصَّـٰدِقِينَ وَٱلۡقَـٰنِتِينَ وَٱلۡمُنفِقِينَ وَٱلۡمُسۡتَغۡفِرِينَ بِٱلۡأَسۡحَارِ 
 (Dan juga) orang-orang yang sabar (dalam menjunjung perintah Allah) dan orang-orang yang benar (perkataan dan hatinya) dan orang-orang yang sentiasa taat (akan perintah Allah) dan orang-orang yang membelanjakan hartanya (pada jalan Allah) dan orang-orang yang beristighfar (memohon ampun) pada waktu sahur. 

Orang-orang yang sabar (ٱلصَّـٰبِرِينَ)

Ummat Islam pada hari ini dicirikan sebagai  satu kelompok manusia yang hilang sifat sabar dalam mengerjakan amal kebaikan tapi sangat sabar dalam perkara kebatilan yang menimpa kita.

Orang-orang yang benar (ٱلصَّـٰدِقِينَ)

Kita perlu menilai semula sejauh mana kita meyakini deen ini dari sudut pegangan, dari sudut kata-kata dan akhlaq dan juga dari sudut perbuatan amali untuk menegakkan kebenaran. Ketiga-tiga sudut penilaian ini penting untuk kita melakukan musabah terhadap keyakinan kita sebagai muslim.

Sebagai contoh ikutan yang unggul, Hajar (as) mencontohkan kepada kita dalam memahami erti kata menjadi dari kalangan 'orang-orang yang benar'. Imbau kembali bagaimana keyakinannya bila ditinggalkan Nabi Ibrahim (as) di tengah padang pasir (hari ini Makkah) dan dengan keimanan yang mendalam, Hajar (as) hanya bertanyakan soalan yang perlu untuk menambahkan keyakinan dan keteguhan terhadap deen ini.

Orang-orang yang sentiasa taat (ٱلۡقَـٰنِتِينَ)

Mana mungkin ketaatan datang tanpa adanya istiqamah?

Orang-orang yang membelanjakan hartanya (ٱلۡمُنفِقِينَ)
Berkaitan dengan golongan ini, Dr Wahbah Az-Zuhaily menafsirkannya sebagai mereka yang melakukan pengorbanan (tadhhiyah). Sekali lagi kita menoleh semula pada Hajar (as) bilamana dia ditinggalkan di tengah padang pasir tanpa perlindungan dan bekalan makanan serta ditemani hanya oleh Ismail (as).

Pengorbanan hanya akan berlaku bila hadir kesabaran, keikhlasan dan ketaatan pada Allah!

Jadi disini kita melemparkan pandangan kita kepada saudara-saudara kita yang jauh di Palestin juga di Arakan yang hampir dengan kita. Contohilah mereka dari hikmah pengorbanan yang mereka lakukan untuk menegakkan deen ini di negara mereka.

Orang-orang yang beristighfar pada waktu sahur (ٱلۡمُسۡتَغۡفِرِينَ بِٱلۡأَسۡحَارِ)

Kita lihat bagaimana panglima tentera Allah, Salahuddin al-Ayyubi memilih tenteranya yang bangun mengerjalan qiyamullail untuk membebaskan kota Jerusalem dari cengkaman tentera Salib. Jadi bagaimanakah hubungan ummat Islam pada hari ini dengan solat malam mereka?

Kesimpulan

Ketaqwaan yang benar akan melahirkan tindakan untuk menentang kezaliman sesuai dengan tuntutan keimanan kita.

Nota

Amalan mencatat perlu dibudayakan (baik semasa mendengar khutbah atau dimana-mana saja). Bukan senang untuk hadir mendengar khutbah Jumaat tapi akhirnya waktu-waktu yang berharga itu dihabiskan dengan tidur!











Thursday, October 10, 2013

Dan kemenangan dilambatkan kerana ini ...


Kenapa Dilambatkan Kemenangan?! - Sayyid Qutb

"Kerana pembinaan ummah mu'minah (umat yang beriman) masih belum matang sepenuhnya, pembinaannya masih belum lengkap, kerana kemampuannya masih belum mampu untuk menggerakkan apa-apa, kerana sel-sel kekuatan dan kesediaan masih belum bercantum dan masih tidak mampu meransang apa-apa untuk mengecapi betapa tingginya harga sebuah kemenangan itu, dan andai kata kita memperoleh kemenangan itu sekarang, maka kita akan kehilangannya serta merta dek ketidakmampuan kita untuk melindunginya dalam jangka masa yang panjang"

As Syahid Sayyid Qutb Rahimahullah
1906-1966 M

Sumber : رابطة الاخوان بالعالم
#mesirkini
#R4BIA

Friday, August 16, 2013

Belajar dari medan Rabaah Adawiyah


BELAJAR DARI MEDAN RABAAH ADAWIYAH

***
Belajar dari medan Rabaah Adawiyah,

Tarbiyah itu melahirkan jiwa-jiwa yang menegakkan deen ini di alam nyata, jauh dari menyudutkannya di mihrab-mihrab uzlah.

Belajar dari medan Rabaah Adawiyah,

Tarbiyah itu melahirkan jiwa-jiwa meyakini dengan mendalam apa yang ingin dicapai, ikhlas dalam berjuang, semangat yang bergelora dan berkorban dalam mencapai tujuan.

Belajar dari medan Rabaah Adawiyah,

Tarbiyah itu melahirkan jiwa-jiwa yang berjuang sedaya upaya untuk mengembalikan hak mereka yang dirampas, harta kekayaan yang disamun dan kebebasan juga telah hilang.

Belajar dari medan Rabaah Adawiyah,

Tarbiyah itu melahirkan jiwa-jiwa yang menumpukan segala perhatian demi untuk kepentingan umat lebih banyak dari faedah dirinya sendiri.

Belajar dari medan Rabaah Adawiyah,

Tarbiyah itu melahirkan jiwa-jiwa yang cerdas dan ke depan dalam menebar kebaikan, sedangkan kita di sini ragu-ragu untuk menjadi pendahulu dalam perlumbaan mengerjakan kebaikan.

Belajar dari medan Rabaah Adawiyah,

Tarbiyah itu melahirkan jiwa-jiwa perajurit di barisan hadapan ummat dalam mendepani jahiliyah sedangkan belahan dunia lainnya nyenyak diulit mimpi.

Belajar dari medan Rabaah Adawiyah,

Tarbiyah itu melahirkan jiwa-jiwa yang menyahut seruan menegakkan deen sedangkan kita di sini sibuk melahirkan pelbagai alasan untuk uzurkan diri dari tarbiyah kita.

Belajar dari medan Rabaah Adawiyah,

Tarbiyah itu melahirkan jiwa-jiwa yang menyiapkan diri dengan muwasofat dalam rangka menebar rahmat ke seluruh alam sedang kita di sini berkira-kira untuk melengkapkan mutabaah amal kita.

***
Apa lagi alasan kita, untuk tidak belajar dari medan Rabaah Adawiyah?

***

Awang Ilham
Badar
15.8.2013, 11.27 PM

Tuesday, July 2, 2013

Tarbiyatul awlad dan awladut tarbiyah




Tahun ini umurku menjengah setengah kurun.


Hampir empat tahun aku dipertemukan dengan tarbiyah.


Pada umur ini, seringkali kedengaran bisik-bisik nakal teman seangkatan dalam tarbiyah dan dakwah ini,


"Akhi, enta bila?" *Bila apa? - muka innocent*


"Bila la ana nak rasa nasik minyak enta ni?" *Nasik minyak tu kalau nak makan tak perlu jemputan kot, kat kedai banyak - sambil buat muka innocent*


"Akhi, nak kad?" *Kad? Kad apa? Business card? cardboard? - sambil buat muka innocent juga*


Dan lain-lain lagi kata-kata yang membawa maksud yang sama.


Huhu.


Dan seringkali jawapan yang aku berikan pada yang bertanya adalah:


"Inshaallah akhi, jemput ya bulan 12 nanti! Tahun nya belum tahu bila :)"


Kasihan pada ikhwah yang bertanya kerana aku yakin mereka yang bertanyakan kepadaku akan perihal baitul muslim ku (woah, dah kantoi! ingatkan nak buat entry yang ala-ala criptic sikit) adalah dari akhuna murabbiyun yang menginginkan kebaikan ku dalam deen ini dan mereka yang meyakini sedalam-dalamnya langkah kedua dalam maratib amal ini.


Realitinya aku dalam proses membina diri, menyediakan bekal-bekal yang diperlukan untuk melangkahkan kaki ke dalam pintu pernikahan yang barokah. Itu dari sudut persediaan diri secara fardhi nya.


Cumanya aku gusar, adakah aku sudah meletakkan diri dalam keadaan full throttle untuk tarbiyah dan dakwah? 100% untuk mentarbiyah adik-adik halaqah ku? 


Aku teringat kisah seorang akh yang disampaikan oleh pakcik SM dalam sebuah program. Ada seorang akh yang dikurniakan zuriat setelah pernikahan pada usia yang agak lewat tapi atas barokah dan makbulnya doa-doa dari anak halaqah binaannya, alhamdulillah zuriat itu tiba juga akhirnya. 


Itulah yang dimaksudkan dengan awladut tarbiyah. Anak-anak tarbiyah. Yang lahir dari rahim seorang murobbi yang meyakini dengan keyakinan seteguh gunung bahawa antara amal yang muntij setelah meninggalnya seseorang itu adalah anak yang soleh yang mendoakannya!


Tapi aku gusar. Sangat sangat gusar. 


Adakah aku terlalu tergesa-gesa memikirkan tentang tarbiyatul awlad (takde anak sendiri lagi tapi dalam entry ni fokusnya adalah baitul muslim itu sendiri) atau adakah aku benar-benar fokus untuk membina awladut tarbiyah hingga adik-adik halaqahku agar muntij dan benar-benar merasai besarnya misi hidup sebagai seorang da'i yang perlu bergerak menyelamatkan umat serta keluar dari keselesaan mereka?


Jadi fokusnya disini adalah awladut tarbiyah dan tarbiyatul awlad.


Tarbiyatul awlad perlu dicari bekal-bekalnya sebelum berbaitul muslim lagi dan awladut tarbiyah harus dibina secara terus menerus. 


Kedua-dua hasilnya aku letakkan pada Allah inshaallah.

Wednesday, December 12, 2012

Ada benarnya Moshe Dayan


Suatu ketika dahulu, Moshe Dayan (bekas menteri luar Israel, bacaan lanjut: http://bit.ly/2TUknt) menyatakan dengan terbuka cita cita dan keinginan negaranya - membina Israel dari Nil ke Furat.

Dia mendapat serangan dan kecaman dari bangsanya, kerana mereka khuatir penyataanya itu akan dibaca oleh bangsa Arab.

Namun, dengan tenang ia menjawab, 

"Tenanglah, percayalah padaku, bangsa Arab tidak akan membacanya, kerana mereka tidak suka dan malas membaca"

Inilah kenyataan pahit yang dimiliki sebuah ummat yang dalam ayat pertama di dalam kitab yang diturunkan kepada mereka, memerintah "Iqra!" (bacalah!)

Ternyata mereka MALAS dan TIDAK SUKA MEMBACA. Kalaupun membaca mereka TIDAK PANDAI MEMAHAMI, kalaupun memahami, mereka TIDAK BERSUNGGUH-SUNGGUH MELAKSANAKANNYA!.

- Dr Yusuf al-Qaradhawi

- Dari akh Tuan Muhd Ridzuan, dengan sedikit ubahsuai. Gambar dari: http://bit.ly/XFB2GQ