Friday, January 8, 2010

Cinta yang cerah

Universiti adalah tempat pencerahan. Pencerahan akademik, intelektual dan cara hidup. Ada yang memilih untuk dicerahkan. Tidak kurang juga yang menjauhkan diri dari sumber pencerahan itu. Ada masa mereka yang memilih pencerahan masih segan-segan untuk menarik rakan-rakan mereka yang masih berlindung di bawah kegelapan. Sebaliknya, ada juga mereka yang memilih untuk terus berada di dalam kegelapan juga cenderung untuk menarik mereka yang sudah dicerahkan supaya terjebak dalam kegelapan.


Universiti adalah sebuah medan untuk insan-insan bijak dari seluruh pelusuk negara ini untuk menerima pencerahan dan memilih cinta.


Ada cinta yang akan membawa mereka terus dijajah, dan ada Cinta yang akan membebaskan mereka. Ada cinta yang akan melahirkan bibit perhambaan dan ada Cinta yang melakar jiwa kebebasan. Jenis-jenis cinta dan Cinta ini berkait dengan Pencerahan. Ada yang disuluh, menjadi teguh di dalam lingkungan Pencerahan itu dan mereka langsung bertemu Cinta. Ada yang menjauhi Pencerahan, dan mereka kekal meraba-raba figura-figura cinta palsu mereka itu.


Figura cinta palsu


Meniti hari-hari terakhir pengajian di universiti ini, satu pemerhatian ringkas yang dapat dibuat sekitar panorama universiti ini adalah bersepahnya pasangan-pasangan di merata-rata tempat. Di sekitar kawasan asrama, perpustakaan, taman-taman rekreasi dan kawasan akademik. Mereka dimana-mana.


Ada yang melekat rapat di atas motorsikal ke hulu dan kehilir, ada yang bertaut erat berpegang tangan ke sana ke mari, ada juga yang terpateri ketat dilingkari tangan pasangan masing-masing, ada segelintir yang terpaku tepat pandangan mereka di kafeteria dan perpustakaan.


Mungkin ada yang memilih cinta bersama si gadis elok rupawan. Mungkin ada yang memilih cinta bersama sang lelaki yang menarik wajahnya. Mungkin juga ada yang memilih cinta atas dasar kebendaan. Mungkin pada pandangan manusia normal, tak mungkin si wanita jelita berpeleseran dengan si lelaki berwajah sederhana itu. Dan begitulah sebaliknya.


Ada ketika mereka ini berhubung melalui telefon andai tidak bertentang mata. Berminit-minit hingga berjam-jam lamanya. Di tengah kesunyian malam, tawa hilai mereka memecah kesunyian malam. Mereka beradu kasih seolah-olah sudah tiada esok bagi mereka.


Juga ada ketika dimana mereka melaburkan ratusan ringgit untuk meraih hati pasangan masing-masing. Mereka berbelanja untuk bermacam tujuan. Wayang, pakaian dan makan. Mungkin juga untuk tujuan lain.


Ada masanya mereka ini dicemburui kerana berpasang-pasangan. Mereka ini diangkat kerana handalnya mereka dalam berkasih dalam hubungan nafsu itu. Mereka ini dipuji kerana hebatnya mereka dalam mengambil hati pasangan masing-masing.


Inilah balasan indah yang mereka peroleh akibat memilih cinta tanpa pencerahan.


Cinta di balik tabir


Di satu sudut yang jauh, yang tidak terlihat oleh pasangan-pasangan tadi, ada segolongan lelaki dan perempuan. Mereka juga bercinta. Malah cinta mereka lebih ghairah lagi daripada cinta boyfriend-girlfriend yang palsu-palsu belaka itu.


Golongan ini menjadikan cinta mereka sebagai motivasi dalam kehidupan seharian. Cinta mereka ini terserlah dalam segenap urusan yang didepani. Dalam akademiknya, dalam pergaulannya, dalam adabnya, dalam pengurusan masanya, dalam berpersatuannya, dalam jual-belinya, dalam berpakaiannya, dalam ibadah khususnya. Cinta mereka membentuk akhlaq.


Golongan ini juga bercinta. Tetapi mereka tidak bertentang mata dengan pasangan mereka setiap hari. Anehnya, mereka juga bertemu dengan Cinta mereka setiap hari. Lima kali sehari. Mungkin lebih. Hingga ada antara mereka yang sanggup bangun mengharungi kedinginan malam hanya untuk mengobarkan lagi kasih mereka dengan Cinta mereka itu.


Mereka ini juga bercinta. Tetapi mereka tidak diusung merata-rata oleh pasangan mereka. Mereka bergerak memulakan hari mereka dengan memanjatkan pengharapan yang tinggi kepada Cinta mereka. Melakukan urusan seharian tanpa ditemani oleh Cinta mereka, namun mereka merasai kehadiranNya di segenap nafas. Mereka mengakhiri hari mereka juga dengan rasa perhambaan kepada Cinta mereka.


Mereka ini diakari cinta hingga ke setiap pembuluh darah. Cinta itu adalah energi hidup mereka. Mereka ini sanggup berbelanja hanya bagi meraih Kasih daripada Cinta mereka. Wang ringgit yang mereka belanjakan melebihi keperluan diri sendiri. Kerana Cinta mereka sanggup melebihkan nilai harta berbanding keselesaan diri.


Mereka ini adakalanya dipandang rendah. Kerana mereka ini tidak berpacaran kononnya. Mereka ini ada ketika dinafikan hak di tengah masyarakat. Kerana mereka ini menongkah arusnya kata sebahagian kelompok.


Inilah harga yang terpaksa mereka bayar kerana memilih Cinta dengan pencerahan.


Dua ekstrem


Insan-insan yang memilih cinta ada selanya mereka membawa hujah-hujah lekeh bagi menjustifikasi amal indah mereka. Berbagai alasan yang mereka reka bagi menghias perbuatan hodoh mereka. Mereka ini pandai sungguh berkata-kata. Tetapi untaian kata mereka itu hanyalah bagi menghalalkan apa yang mereka lakukan. Dan ini adalah jawapan untuk mereka:


Ketahuilah Bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup Yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup Yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan, dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan Yang (menumbuhkan tanaman Yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa Yang tertentu), selepas itu Engkau melihatnya berupa kuning; akhirnya ia menjadi hancur bersepai; dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab Yang berat (di sediakan bagi golongan Yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu), dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang Yang mengutamakan Akhirat). dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang Yang terpedaya.
Al-Hadid, ayat 20.


Dan bagi mereka yang terkadang meragui akan hakikat Cinta yang telah mereka pilih, inilah pula jawapan bagi anda:


Dan Ketahuilah! bahawasanya Dalam kalangan kamu ada Rasulullah (maka janganlah kemahuan atau pendapat kamu mendahului pentadbirannya); kalaulah ia menurut kehendak kamu Dalam kebanyakan perkara, tentulah kamu akan mengalami kesukaran; akan tetapi (Rasulullah tidak menurut melainkan perkara Yang diwahyukan kepadaNya, dan kamu Wahai orang-orang Yang beriman hendaklah bersyukur kerana) Allah menjadikan iman suatu perkara Yang kamu cintai serta di perhiaskannya Dalam hati kamu, dan menjadikan kekufuran dan perbuatan fasik serta perbuatan derhaka itu: perkara-perkara Yang kamu benci; mereka Yang bersifat demikian ialah orang-orang Yang tetap menurut jalan Yang lurus.

Al-Hujurat, ayat 7.


Mengharungi detik-detik terakhir di universiti ini, adakah lagi alasan untuk mereka menolak pencerahan?

1 comment:

Abu Khalid said...

Terasa hangat cintanya

Semoga Cinta tersebut terus mekar hingga bertemu juga akhirnya dalam pertemuan dengan hati yang salama

Amat bertuah 'sulbi dunia' yang akan menemani pencinta-pencinta ilahi ini