Friday, January 8, 2010

Kenapa khutbah solat Jumaat tidak berkesan membawa perubahan kepada ummah Islam: Satu analisa ringkas


Untuk menganalisa keadaan ini, satu pemerhatian ringkas telah dibuat di beberapa buah masjid di kawasan Serdang, Selangor dan ulasan yang dibuat adalah berdasarkan temuramah dan sintesis idea penulis sendiri.


Artikel ringkas ini membincangkan secara tuntas tentang apa yang penulis rasakan mengenai fenomena yang tidak kena dengan khutbah Jumaat masa kini.


Antara isi yang akan ditinjau dalam artikel ini adalah mengenai demografi umum jemaah yang hadir ke masjid dan kategori-kategori khubah serta peranan khutbah yang sepatutnya dalam survival Islam.


Pembahagian jemaah yang hadir ke masjid pada hari Jumaat


Secara umumnya, jemaah yang hadir ke masjid pada waktu zuhur pada hari Jumaat dapat diklasifikasikan kepada dua kategori.


Golongan pertama yang hadir di masjid dengan niat untuk menunaikan ibadah solat jumaat dengan sebaik mungkin, maka khutbah jumaat itu dimanfaatkan dengan seeloknya.


Dan bagi golongan kedua pula adalah mereka yang menanggung keletihan akibat bebanan kerja di pejabat, maka khutbah jumaat itu pun dimanfaatkan sebaiknya.


Sistem pembahagian jemaah umum ini dapat dilihat secara sepintas lalu di mana-mana masjid di seluruh Malaysia.


Dan kategori khutbah Jumaat pula dapat dipecahkan kepada beberapa kelas


Untuk kategori khutbah pertama, adalah khutbah teks yang hanya dibaca oleh khatib. Khutbah jenis ini selalunya membosankan dan nada suara yang digunakan oleh khatib pada kebiasaannya adalah monotone.


Khutbah teks ini dapat kita saksikan di kaca televisyen dan dapat kita dengar melalui corong radio milik kerajaan setiap Jumaat dan ulangannya pada malam Jumaat.


Khutbah jenis ini, pada kebiasaannya membincangkan isu-isu umum, contohnya seperti kepentingan memakan buah-buahan tempatan, institusi raja berperlembagaan dan cara memanfaatkan waktu cuti sekolah dengan berkesan. Bagi mereka yang mendengar setiap isi yang disampaikan oleh khatib teks ini, ianya tak lebih dari jarum-jarum halus propaganda kerajaan dalam menyampaikan kehendak autoritatif pemerintah kepada rakyat.


Ada ketika para hadirin di masjid mahupun mereka yang berada di rumah dapat membuat andaian ringkas tentang khutbah teks sebegini:

  1. Kalau setakat baca teks khutbah macam ni, siapa-siapa pun boleh jadi khatib.
  2. Ni macam karangan budak UPSR je.
  3. Bosannya, baik tengok kat TV je.

Khutbah teks ini secara normalnya tidak meninggalkan persoalan yang dapat dijawab oleh hadirin sendiri. Kerana teks khutbah yang hanya dibaca, maka ianya tidak dapat menggalakkan hadirin untuk berfikir. Ianya seolah-olah mendengar seorang artis yang mendendangkan lagu tanpa menghafal lirik lagu itu sambil artis itu membaca lirik yang berada di hadapannya.


Semasa khutbah teks ini dibacakan, kebanyakan hadirin lebih mudah memilih untuk tidur sepanjang sesi itu mungkin kerana teks yang hanya dibaca secara monotone ataupun khatib yang tidak mempunyai kemahiran pengucapan awam yang menarik.


Secara ringkasnya, khutbah teks ini adalah himpunan karangan yang membosankan dan tidak meningkatkan daya intelek hadirin serta ianya memperlekeh pemikiran sidang Jumaat.


Khutbah kategori kedua pula dapat dilihat sebagai khutbah yang berisi dengan informasi yang tepat mengenai keadaan semasa, baik isu yang dibincangkan adalah isu tempatan mahupun antarabangsa.


Khutbah informatif ini disampaikan oleh khatib (kebiasaannya adalah penceramah jemputan yang berpengalaman) secara santai mengikut nada dan tempo isu yang hendak diulas. Tuntasnya, khutbah informatif ini bukanlah bergantung kepada teks semata-mata, sebaliknya kemahiran penyampai yang membantu dalam penyampaian mesej dari mimbar kepada hadirin.


Khutbah informatif ini tidak ditayangkan di mana-mana saluran media, mungkin kerana adakalanya isu yang dibawa sedikit sebanyak menyentuh kelemahan pihak pemerintah negara ini.


Khutbah informatif yang disampaikan sering meninggalkan sidang Jumaat dalam keadaan penuh renungan terhadap isi yang terkandung dalam khutbah. Isi yang disampaikan relevan dengan kehendak pendengar dan selalunya menekankan kepada peranan ummah Islam dalam menaikkan kembali martabat Islam di negara ini.


Kebanyakan hadirin tidak tidur dalam khutbah informatif seperti ini berbanding khutbah teks. Mungkin kerana khutbah informatif ini berjaya merangsang pemikiran hadirin dari saat mula khutbah hingga ke akhirnya.


Secara ringkasnya, khutbah informatif ini adalah himpunan isu ummah yang mendorong pemikiran dan meningkatkan daya intelek hadirin serta ianya adalah satu penghormatan kepada tahap pemikiran sidang Jumaat.


Peranan khutbah dalam survival Islam


Pernahkah kita terfikir kenapa solat Jumaat hanya diwajibkan kepada orang lelaki? Dan kenapa pula isi khutbah serta teknik penyampaian khutbah memainkan peranan yang penting?


Satu peranan yang diberikan secara fitrah kepada lelaki adalah sebagai pemimpin dalam keluarga. Pemimpin yang baik adalah mereka yang mampu memimpin, dan untuk memimpin, mereka memerlukan ilmu serta input luaran yang mampu menyokong peranan mereka dalam melaksanakan peranan sebagai pemimpin keluarga.


Khubah Jumaat sepatutnya menjadi satu platform informasi bagi kaum lelaki bagi menyediakan mereka dengan maklumat-maklumat yang penting dalam menghadapi ancaman yang sentiasa menggugat survival ummah Islam. Input-input yang tidak penting dan tidak relevan dalam khutbah Jumaat adalah satu perkara yang sia-sia dan tidak membantu dalam memperlengkapkan jemaah dalam menentang anasir yang mengancam maruah Islam.


Dan informasi yang diperoleh semasa khutbah seharusnya disebarkan oleh jemaah yang hadir, sama ada melalui pengamalan terus ataupun melalui perkongsian dengan isi rumah. Tetapi hanya isu-isu yang benar-benar kena dengan keadaan seharusnya menjadi pokok utama dalam sesuatu khutbah yang patut disebarluaskan. Bukannya isu-isu remeh yang menjadikan pendengarnya bosan, bahkan membawa fitnah pula kepada Islam akibat teks khutbah yang menghina intelek ummah Islam.


Teknik penyampaian khutbah turut mempengaruhi emosi hadirin. Mudah atau sukar penerimaan idea atau informasi yang terkandung dalam khutbah itu bergantung kepada cara khutbah itu disampaikan. Nada suara khatib yang hambar dan ditambah lagi kurangnya eye-contact dengan hadirin menyukarkan lagi penyampaian mesej khutbah.


Kesimpulan awal yang dapat dibuat


Khutbah yang baik adalah khutbah yang dapat membuahkan pemikiran dan amal. Khutbah yang baik bukanlah khutbah yang terhad kepada isu-isu tempatan yang tidak signifikan untuk dibincangkan.

2 comments:

Lt. fDanialz said...

penyelidikan analisis yang terbaek..
tp sedih la gak sbb kebanyakkan orang pergi semayang jumaat utk cukup kan syarat jer

Anonymous said...

ahahhaha... nih no komen la kot.. org laki jer yg lebih paham. ngeh3