Saturday, May 1, 2010

Fragmen hidup baru

Melangkahnya seorang mahasiswa/i itu melepasi gerbang universitinya itu pada awal kemasukan, mukanya bersinar penuh dengan harapan ayah dan ibu yang turut sama menghantarnya. Digalasnya segunung bebanan bangsa ke hulu ke hilir meredah minggu suai kenal bersama-sama gerombolan mahasiswa/i lain.



Minggu akademik yang bermula itu, tanpa disedari, melemparkan dia jauh ke dalam kitaran yang tiada henti. Kitaran yang tanpa lelah meranggut masa mudanya dengan segala macam tugasan, peperiksaan, kuiz, pembentangan dan projek.


Masa siangnya dihabiskan dengan dengan mendengar kuliah dan waktu malamnya pula dilangsaikan dengan menghadap nota-nota. Hujung minggunya pula dipenuhi dengan pengisian-pengisian di panggung wayang, lorong bowling dan permainan komputer.


Begitulah secara umumnya seorang mahasiswa/i ditarbiyah di sebuah universiti penyelidikan.


Andaikan hidup di universiti, bagi seorang mahasiswa/i, adalah seumpama secebis dari lukisan kehidupan yang lebih besar. Sekiranya begitu, masa yang dilaburkan di alam kampus oleh para penuntut adalah satu fragmen kecil berbanding dengan perjalanan hidup yang terbentang luas di hadapan.





Fragmen kehidupan di alam universiti itu seandainya difahami oleh seorang yang beriman, adalah umpama medan untuk mengutip bekalan amal kebajikan sebanyak-banyaknya sebelum diiring masuk ke alam kubur.


Alangkah ruginya golongan yang menanggapi universiti itu sebagai medan untuk berta’arufan dengan rokok, couple dan pornografi. Lebih merugikan bagi mereka yang sebelum ini sudah mengecapi ruh Islam di dalam diri masing-masing, namun mereka membiarkan saja ujana keimanan di dalam dada mereka di genangi jahiliyah.


Kiranya seorang mahasiswa/i itu benar-benar melakar warna-warna indah di atas kanvas kehidupan di universiti itu, sudah pasti tiada penyesalan baginya kelak.


Ada sebahagian yang benar-benar menumpukan seluruh daya dan potensi mereka untuk menggapai strata yang paling tinggi dalam lapangan akademik. Juga terdapat mereka yang berusaha sekadar kemampuan mereka selain menguliti aktiviti di luar kotak akademik. Tidak kurang juga yang hilang tumpuan untuk belajar lalu mereka mati sebelum ajal, terkubur di bawah longgokan keinginan yang bukan akademik.


Setelah beberapa lama, mereka melangkah keluar dari universiti dengan segulung ijazah, lalu mendapat pekerjaan. Kemudiannya, mereka berusaha dan berusaha untuk membeli kereta idaman dan rumah impian. Langsung mereka mendirikan rumah tangga dengan kekasih hati, medapat cahaya mata. Dan kitaran hidup ini terus berputar ligat dan diwariskan pula kepada anak-anak mereka sebagai pusaka tanpa mereka sedari.


Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.

(Surah al-A’raaf, ayat 179)



Kesedaran yang terhasil dari bibit keimanan ini membawa paradigma baru. Hidup manusia ini bukan untuk dikongkong, potensi manusia itu bukan untuk ditundukkan bagi memuaskan nafsu perhambaan sesama manusia. Jiwa manusia itu harus terbang lebih jauh melangkaui tahap duniawi, menuju pengabdian kepada Ilahi semata-mata.


Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu Dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal Kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?". Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa Yang kamu tidak mengetahuinya".

(Surah al-Baqarah, ayat 30)


Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.

(Surah adz-Zariyat, ayat 56)


Manusia itu bukan binatang. Diangkatnya mereka sebagai khalifah dan ‘abdi kepada Ilah mereka sesuai dengan kapasiti dan potensi mereka. Seandainya mereka mengerti, nescaya akan mereka kerahkan seluruh keringat hanya untuk Islam.


Selamat bergraduat.

No comments: