Qolbuni mukhlisium: Lonjakan kuantum arena teomikrobiologi
14 Safar 2020 Hijriyah
Oleh: Siti Zawyah Ahmad Bakri
Selama beberapa kurun, ummah ini telah dibelenggu oleh satu wabak penyakit yang cukup dahsyat, dimana virus penyebab wabak ini telah menjangkiti setiap ceruk hati pemuda dan pemudi muslimin. Dan akibatnya? Generasi penerus yang diharapkan untuk menerajui kegemilangan pencapaian ummah yang terbaik ini tumbang satu persatu. Atas kesedaran yang timbul dek kecintaan kepada agama, satu projek penyelidikan berskala mega telah digerakkan melalui pembiayaan secara peribadi oleh Amirul Mukminin, Khalifah Ashabul Yamin al-Kalantani.
Geran penyelidikan tersebut telah dianugerahkan kepada Makmal Teopatologi Institut Penyelidikan Qolbunsalim. Satu kajian yang telah dijalankan selama 14 tahun yang diketuai oleh Muhammad Mukhlis Asaduddin, seorang professor di Institut Penyelidikan Qolbunsalim, Perlis Darussunnah bersama sepasukan penyelidik akhirnya membuahkan hasil apabila beliau berjaya bersama kumpulan penyelidiknya mempatenkan penemuan virus terbaru iaitu Qolbuni mukhlisium.
Berikut merupakan catatan temuramah Professor Mukhlis (PM) bersama wartawan Khaira Ummah, Siti Zawyah Ahmad Bakri (SZ).
SZ: Assalamualaikum Prof.. Pertama sekali saya mewakili akhbar Khaira Ummah ingin mengucapkan tahniah kepada Prof. atas kejayaan menemui salah satu virus yang paling elusive di dalam sejarah perubatan hati manusia.
PM: Waalaikumussalam.. Terima kasih ukhti Zawyah, tetapi saya merasakan yang ucapan tahniah tersebut lebih layak andai kata ditujukan kepada kumpulan penyelidik saya yang begitu komited dalam penyelidikan ini hingga penemuan ini dapat dipatenkan.
SZ: Sebelum meneruskan temuramah mengenai penemuan ini, bolehkah Prof. memperihalkan secara ringkas mengenai bidang teomikrobiologi ini? Mungkin khalayak ramai masih belum begitu peka akan bidang ini yang baru berkembang.
PM: Bidang teomikrobiologi ini sebenarnya merupakan satu cabang yang sangat berbeza berbanding dunia mikrobiologi. Intipati bidang mikrobiologi lebih tertumpu kepada kajian mengenai mikroorganisma yang mencakupi ruang lingkup taksonomi, fisiologi, metabolisma dan pengaplikasian mikroorganisma dalam industri manakala teomikrobiologi pula terkhusus ke arah mengkaji pengklasifikasian virus penyebab penyakit hati, diagnosis dan simptom penyakit hati serta kaedah rawatan yang sesuai bagi merawat penyakit hati tersebut. Teomikrobiologi lebih mementingkan pendekatan secara teologi yang holistik untuk memahami serta mencegah jangkitan mikroorganisma yang berbahaya kepada pembangunan rohaniyah insani. Dan yang lebih menarik, mikroorganisma yang dikaji dalam bidang mikrobiologi boleh dilihat melalui mikroskop tetapi mikroorganisma melalui perspektif teomikrobiologi tidak dapat dilihat melalui mikroskop dan hanya boleh dilihat melalui pemahaman intelektualisme islami yang tinggi serta pandangan fikrah sahaja. Mengenai perkembangan bidang teomikrobiologi di daulah ini yang terpinggir di pandangan mata masyarakat, tiada faktor khusus yang dapat saya berikan tapi kemungkinan besar juga masyarakat kini sudah tercandu, khayal serta larut dengan bahan pencemar designer drug hipnopsikosis hedonisme yang, saya kira, sudah tepu di dalam atmosfera sekeliling kita. Mungkin saudara Karam Singh Walia Jr. patut membuat liputan khas akan kesan dadah ini terhadap masyarakat.
SZ: Berkenaan penemuan virus Qolbuni mukhlisium ini, bolehkah Prof. menerangkan serba sedikit mengenai proses penyelidikan yang dilakukan bagi mengenalpasti mikroorganisma yang baru ini?
PM: Yang sebenarnya penyelidikan ini telah dimulakan oleh teomikrobiologis Islam yang terdahulu dan kami sekadar mengambil tanggungjawab dan menjadi penerus kepada penyelidikan yang tidak sempat mereka tamatkan. Sebagai makluman, kajian ini timbul atas kesedaran bahawa virus Q. mukhlisium berpotensi untuk menyebabkan deretan simptom yang lebih merosakkan masyarakat dan penyebaran virus ini perlu dihentikan serta-merta. Bagi meneruskan kesinambungan kajian terdahulu, kompilasi data yang sahih seperti al-Quran, hadith Rasulullah SAW dan athar para sahabat telah dijadikan sumber utama dalam memahami perilaku dan patogenesis virus ini. Berikutnya, himpunan maklumat primer tadi telah dianalisa dan setiap cebisan maklumat dihubungkaitkan dengan gejala penyakit yang dihadapi oleh golongan muda-mudi muslim ketika ini. Dan akhir sekali, kesimpulan mengenai kewujudan virus dan taksonominya dibuat setelah mengambilkira pendapat para ulama’ muktabar yang terdahulu dan kontemporari serta hasil penemuan teomikrobiologis Islam yang lain.
SZ: Apakah ciri khas yang terdapat pada virus ini yang membezakannya dari kumpulan virus yang lain? Dan apakah yang menyebabkan virus ini dinamakan Qolbuni mukhlisium?
PM: Virus ini pada dasarnya tergolong dalam genera virus yang eksklusif, yang hanya mengakibatkan penyakit hati dan tidak menyebabkan gejala fizikal. Dari segi morfologinya pula, virus ini tidak mempunyai struktur kapsid dan membran seperti virus-virus yang lain. Jika dilihat dari sudut epidemiologinya pula, virus ini tidak merebak melalui agen-agen semulajadi dan tidak menjangkiti mereka yang lemah sistem imunisasi secara biologinya tetapi lebih cenderung untuk menjangkiti mereka yang lemah sistem imunisasi akibat lemah iman dan mereka yang menghidapi kanser hedonisme. Sebelum menamakan virus ini secara spesifik, ianya hanya dirujuk sebagai virus genus hubbuddunya sp.. Oleh kerana virus ini sangat infectious dan merosakkan hati ataupun qolbu, maka ianya diberikan nama Qolbuni mukhlisium. Qolbuni mewakili kata nama untuk genusnya manakala mukhlisium pula adalah kata nama untuk spesisnya. Q. mukhlisium ini akhirnya telah berjaya dipatenkan di Pusat Penyelidikan Perubatan Islami, Cordova dan telah didaftarkan di dalam Buku Daftar Taksonomi Teomikrobiologi Ahmad Taqiyuddin.
SZ: Bolehkah Prof. perincikan dengan lebih lanjut menngenai pola jangkitan virus ini? Misalnya tempoh aktif virus dan sasaran individu yang dijangkiti oleh virus ini?
PM: Qolbuni mukhlisium ini sebenarnya mempunyai tempoh aktif untuk beberapa ketika dalam setahun. Dan graf aktiviti virus ini meningkat dengan mendadak secara exponential menjelang festival sambutan jahiliyah seperti hari valentine, hujung-hujung minggu, malam-malam konsert dan hari sambutan kemerdekaan serta tahun baru masihiyah. Untuk julat sasaran individu ataupun host range pula, virus ini hanya menjangkiti secara spesifik mereka yang lemah iman dan lesu akal akibat hedonisme.
SZ: Dan bagaimanakah pula Prof. melakukan diagnosis terhadap mereka yang telah dijangkiti virus Q. mukhlisium ini? Apakah kriteria yang diambil kira dalam menentukan seseorang itu telah dijangkiti atau tidak?
PM: Untuk pemeriksaan secara klinikal dan rohaniyah (clinical and spiritual) pula, kumpulan penyelidik kajian ini telah berjaya mengenalpasti beberapa simptom yang mengindikasikan bahawa seseorang itu telah dijangkiti virus ini atau tidak. Antaranya ialah mereka ini gemar kepada berpacaran (coupliphilic), gila akan rancangan tv realiti (realititelevosanus) dan senang berpakaian tak tentu hala (skizofashionistic) serta beberapa simptom lain yang terang-terangan menunjukkan keruntuhan akhlak masyarakat. Dari sudut pandang gerosains pula, virus ini lebih mudah menyelinap masuk ke dalam hati golongan pemuda berbanding mereka yang berumur.
SZ: Golongan pemuda lebih mudah dijangkiti? Apakah penjelasan munasabah yang dapat Prof. berikan berkenaan keadaan itu?
PM: Secara mudahnya, umum mengetahui bahawa pemuda tergolong di dalam golongan mereka yang baru meningkat dewasa dan pada masa yang sama mula membentuk kematangan dalam berfikir serta membina pendirian sendiri. Jiwa mereka masih mencari sesuatu pendapat, ideologi dan contoh yang boleh diikuti dan mereka akan memilih haluan yang sesuai dengan kehendak dan gelora darah muda mereka. Di usia muda yang masih mentah, ditambah pula dengan kekosongan jiwa dan rapuhnya penguasaan ilmu ukhrowi, serangan virus segala macam –isme datang menjangkiti tanpa sedikit pun rasa belas kasihan. Jika hendak dibuat satu perbandingan antara pengalaman hidup seorang anak muda dan seorang yang agak berusia, maka sudah pastilah si fulan yang lebih tua itu lebih berpengalaman kerana dia telah terlebih dahulu merasai asam garam kehidupan. Si fulan yang tua itu sudah semestinya terlebih dahulu dapat mengagak bahaya ancaman yang bakal menimpa berbanding si hingusan muda yang masih belum dapat mengenali baik buruk satu ancaman itu.
SZ: Apakah kesan dari jangkitan virus ini? Adakah ianya akan mengakibatkan kematian?
PM: Virus ini sebenarnya tidak melibatkan kematian secara klinikal tetapi akan menyebabkan penyakit hati dan lambat laun akan mengakibatkan hati itu mati. Dan apabila hati (qolbu) sudah tidak dapat menjalankan fungsinya, pelbagai komplikasi yang caca marba sudah pasti akan timbul, contohnya pembuangan bayi merata-rata, perlumbaan haram dan sebagainya. Kesan ini secara tidak langsung didapati selari dengan sebuah hadith Rasulullah SAW yang disahihkan oleh al-Bukhari dan Muslim yang berbunyi:
Ketahuilah bahawa di dalam badan manusia ada seketul daging, apabila ia baik maka baiklah seluruh badan tersebut dan apabila ia rosak maka rosaklah seluruh badan tersebut. Ketahuilah bahawa (daging tersebut) adalah hati.
SZ: Dan adakah cara rawatan bagi memulihkan mereka yang telah dijangkiti virus ini?
PM: Ya, rawatan bagi mereka yang telah dijangkiti virus itu sememangnya telah tersedia ada dan telah diamalkan sejak zaman nubuwwah lagi. Komuniti teomikrobiologi mengistilahkan wasilah rawatan penyakit hati ini sebagai theolymphoserum atau turut dikenali sebagai lymphoviral suppressant dan antara cadangan rawatan yang diambil dari sunnah Rasulullah SAW adalah dengan melazimkan solat sunat, kerapkan berzikir dan selalulah mentadabbur al-Quran. Untuk sistem imunisasi tambahan bagi mencegah dijangkiti virus ini, turut dianjurkan kepada para pesakit supaya bergaul dengan mereka yang beramal soleh, menghadiri majlis ilmu, mendisplinkan diri dengan bertahajjud serta mengambil dos tambahan killer t-cells dengan selalu mengingati sakaratul maut. Amalan mengambil kaedah-kaedah vaksinasi tersebut juga didapati turut berkesan dalam merawat jangkitan virus yang mengakibatkan penyakit yang lebih acute seperti lawwamah sp., mulhamah sp., amarah sp. dan sawwamah sp.. Kesan langsung dari mengamalkan rawatan itu akan menjauhkan jangkitan virus-virus berbahaya dan bakteria baik seperti mutmainah sp., radhiah sp. dan mardhiah sp. akan mengkolonisasikan ruang hati.
SZ: Setakat ini sahaja temuramah kita Prof., dan diharapkan Prof. terus maju dan berjaya dalam arena teomikrobiologi serta dapat terus menyumbang ke arah kegemilangan ummah. Terima kasih Prof..
PM: Insyaallah, sama-sama.
* Artikel ini telah diterbitkan di http://www.iluvislam.com/v1/readarticle.php?article_id=1504
5 comments:
salam bro....
apsal x bgtau ang ada blog..
aku linkkan ang
salam..
Allaaahhuakbar..
enta ahsanta..!
bhs gler punya canggih..
tp bgus!..hehe..
ana kena baca berulang kali..bwu fhm..hehe..
jemput ke blog jiah ye..
to tyrox san:
wslm.. heheh, aku dok dlm mlysia je, xtau nk tulis pe dlm blog, sbb tu senyap jek..heheh
to ajie muslim:
wslm.. ala, ana gne bhse saintifik sket utk bdakwah ... =)
awang ilham!!
hehehehhehehehehhehehe.
gila tinggi bahasa anda.
jom2 join debat!
debat mnde cik nabihah? debat knaikan hrge minyak ke?
Post a Comment