Tuesday, December 22, 2009

Fatabayyanu !


Pada awal usia pengajian penulis di universiti, seorang senior pernah menyuarakan pandangannya kepada penulis, kata-kata beliau berbunyi lebih kurang begini:



“Ko belajar sains ni nanti jadi golongan pekerja je, tak membawa perubahan pun. Yang melakar sejarah, membuat dasar adalah pelajar sastera, dan mereka yang mendalami falsafah.”


Dan beliau menambah lagi,


“Sains la yang menyebabkan segala kerosakan kat atas muka bumi ni.”


Gulp, penulis terdiam. Bukan tanda setuju tapi memikirkan apa yang diperkatakan oleh senior itu tadi. Kalau nak balas balik, memang ternganga la penulis sebab masa tu pun tak tahu sepatah haram lagi bab-bab teori ni.


Tak lama kemudian, setelah mendapat sedikt pencerahan, penulis terdedah dengan idea kapitalisme, ada benarnya juga pelajar sains nanti bergraduat hanya untuk bekerja, dan meneruskan sistem kapitalis yang akhirnya menguntungkan pihak atasan sahaja.


Jika hendak dilihat, keterlibatan pelajar sains di dalam hal ehwal kepimpinan persatuan dan gerakan mahasiswa di kampus dari kalangan pelajar sains tidaklah terlalu signifikan. Pelajar sains dikatakan terdiri dari kalangan mereka yang hanya tahu belajar, dan mengejar kecemerlangan akademik. Pentadbiran negara pun tak ramai yang terdiri dari lepasan jurusan sains.


Pelajar sains ni hanya mampu menanam cita-cita je, jadi doktor, jurutera, saintis; akhirnya cita-cita itu tak lebih dari hanya menjadi sebahagian komponen kecil dari mekanisme penggerak sistem kapitalis. Tak lebih dari itu. Malah sains jugalah yang membawa kehancuran ‘alam sekitar.


Mungkin atas sebab itulah senior itu mempunyai satu pandangan yang negatif terhadap pelajar-pelajar sains. Ada betulnya pandangan yang diutarakan itu tapi tak semestinya pandangan itu merupakan satu-satunya hujah yang harus dipegang, come on la, penulis kan seorang pelajar sains, takkan nak telan mentah-mentah benda tu. Bagi penulis, segala pandangan dari kacamata emosi semata-mata bukanlah satu perkara yang baik.


A muslim, and a scientist


Dah beberapa lama belajar sains ni, dari darjah empat sampai darjah enam, tingkatan satu sampai lima, campur matrikulasi setahun dan insyaallah kalau habis ijazah pertama tiga tahun, jumlah pengajian penulis dalam subjek sains adalah 13 tahun. Huh, 13 tahun? Lama tu.


“Kalau tak pandai jugak, memang sia-sia je la belajar.”


“Susah la nanti nak dapat kerja.”


“Malu mak ayah nanti, mana la nak letak muka.”


Lol, tu pandangan yang diajarkan kepada kita dari dulu lagi dari kecil. Siapa yang ajar? Sekeliling kita lah. TV, sekolah, mak ayah, kawan-kawan, adik-beradik dan lain-lain. Pandai, bodoh. 10 As, 0 As. Dapat kerja, menganggur. Dualisme la sangat semua tu. Bukan ke segala nikmat dalam dunia ni Allah yang bagi, setimpal dengan usaha dan tawakkal kita?


Sampaikan dalam sistem pelajaran di sekolah-sekolah kat Malaysia ni ada jurusan sains dan jurusan sastera. Yang pandai-pandai diserapkan masuk ke dalam jurusan sains, dan yang tak perform sangat tu dimasukkan dalam jurusan sastera. Di universiti pun sama jugak:


“… Di samping lain-lain kesan yang boleh diterima dan ditanggung oleh kanak-kanak tersebut, universiti-universiti di seluruh negara Islam dibanjiri oleh penuntut –penuntut aliran sains yang umumnya mempercayai bahawa mereka telah dilahirkan ke dalam satu jurusan yang mulia, kukuh, benar dan membanggakan. Pelajar-pelajar aliran sastera dibiarkan ‘terbeku’ dengan kursus-kursus yang lapuk, dan sekadar mencukupi untuk menjalankan kerja-kerja umum pentadbiran manakala pelajar-pelajar aliran sains hanya didedahkan kepada prinsip-prinsip sains seperti amalan negara maju tanpa mengetahui falsafah dan had batasan akan apa yang mereka pelajari itu. …”[1]


Dan kebanyakkan dari pelajar sains sendiri tak menyedari akan hal ini, falsafah sains yang tidak diajar seiring dengan pengajaran sains di dalam kelas mahupun kuliah. Pentingnya bagi pelajar muslim dalam bidang sains memahami falsafah sains Islami adalah bagi membezakan mereka dengan Ah Chong, Ravi mahupun David yang juga mempelajari sains tapi tidak memahaminya sehinggakan mereka mengenepikan peranan agama dalam sains.[2]


Islam, barat dan sains


Dalam sains moden, satu masalah yang dilihat masa kini adalah sains itu sendiri sudah lari dari tujuan asalnya, iaitu mengembalikan segala hikmah penciptaan setiap sesuatu kepada penciptanya, in this case, Allah subhanallahu wa ta’la. Setiap satu penciptaan di segenap penjuru ‘alam ini sangatlah sempurna, sehinggakan Allah mengingatkan umat manusia:


Dia lah yang telah mengaturkan kejadian tujuh petala langit Yang berlapis-lapis; engkau tidak dapat melihat pada ciptaan Allah Yang Maha Pemurah itu sebarang keadaan yang tidak seimbang dan tidak munasabah; (jika engkau ragu-ragu) maka ulangilah pandangan - (mu) - dapatkah engkau melihat sebarang kecacatan? Kemudian ulangilah pandangan (mu) berkali-kali, nescaya pandanganmu itu akan berbalik kepadamu dengan hampa (daripada melihat sebarang kecacatan), sedang ia pula berkeadaan lemah lesu (kerana habis tenaga dengan sia-sia). [3]


Dua kali peringatan yang diberi oleh Allah, sesuai dengan amalan dalam eksperimen sains yang menekankan pengulangan dalam bereksperimentasi agar mendapat mengumpul data yang kukuh bagi membenarkan sesuatu hipotesis. Dan kesempurnaan ciptaan Allah itu kini telah pun dinodai dengan pelbagai kecelakaan yang dibawa oleh sains ateis dari barat. Lebih menggerunkan lagi, ribuan lepasan universiti di Malaysia dari jurusan sains telah memasuki industri tanpa memahami terlebih dahulu sains, dari kacamata Islam. Mereka hanya belajar, tanpa berargumentasi dan tanpa memahami terlebih dahulu keadaan sains yang dibawa oleh pensyarah-pensyarah mereka.


Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara Yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan. [4]


Dalam kata lain, sains Islami asasnya adalah untuk mengeksploitasi nikmat ‘alami yang dikurniakan oleh Allah kepada manusia, seiring dengan tanggungjawab seorang manusia sebagai khalifah Allah di muka bumi ini.


Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi." mereka berkata: "Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerusakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?" Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.” [5]


Dan, antara bebanan seorang khalifah adalah untuk memakmurkan muka bumi ini, dengan menggunakan segala nikmat yang telah disediakan Allah, tanpa mengakibatkan ketidakseimbangan dan kerosakan ‘alam sekitar.


Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan kepadanya. Dan berdoa’lah kepadanya dengan perasaan bimbang (kalau-kalau tidak diterima) dan juga dengan perasaan terharap-harap (supaya makbul). Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang yang memperbaiki amalannya. [6]


Tetapi, kini keadaan yang sebaliknya yang telah berlaku.


Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa Yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk Yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat). [7]


Dan apa yang berlaku kini adalah kerana kita mengambil sains untuk mengeksploitasi ‘alam sekitar untuk keuntungan, dan bukannya untuk keperluan asasi. Kita melawan equilibrium, hinggakan kita melanggar ketetapan yang telah digariskan oleh Allah:


Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan Demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar Sesungguhnya azabKu amatlah keras". [8]


Mengikut pandangan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil, dalam gagasan pemikiran Saintifik dan Syariatik yang dirungkaikannya, Allah telah menjadikan manusia itu organism fitrah yang perlu kepada setiap yang saintifik dan panduannya pula dijelaskan secara syariatik. Itulah pergantungan yang asas setiap manusia yang membawa kepada ilmu sains yang amat penting dalam memaksimakan penggunaan sumber alam, dan syariat (iaitu agama) dalam memastikan halatuju sains itu jelas dan tidak terbabas dari tujuan asalnya, iaitu memastikan redha Allah (mardhotillah) dalam setiap yang dilakukan atas nama sains. [9], [10], [11]


Mensyukuri nikmat itu adalah bagi memastikan equilibrium ekologi terjaga, dan melanggar equilibrium itu bererti mengkufuri nikmatNya. Biodiversiti menjadi mangsanya.


Tidakkah bala bencana ekologi yang kita alami hari ini amat mengazabkan? Bagi penulis, cukuplah kita belajar dari Barat bagaimana mereka mengaplikasikan sains bagi keperluan mereka, dan sudah-sudahlah kita mengambil nilai-nilai ateisme dalam sains mereka untuk kita amal.


The point is …


Setelah hampir tiga tahun berada di universiti, penulis termenung seketika, mengenangkan apakah jawapan untuk soalan ini,


“Setelah aku bergraduat nanti, adakah aku sudah menemui kebenaran penciptaan Tuhan sepanjang tempoh pengajian aku? Atau aku hanya sekadar belajar untuk sekeping kertas yang mempunyai tandatangan Tunku Canselor, dan kemudian terus bekerja untuk menghidupkan sistem kapitalis ini?”


Dan yang lebih penting lagi bagi penulis adalah,


“Adakah aku akan menjadi muslim yang saintis, atau saintis yang muslim?”


Muslim yang saintis, individu yang menjadikan syariah sebagai kerangka berfikir dan bertindak, manakala sains sebagai alat. Atau saintis yang menjadikan sains sebagai matlamat, manakala syariat di-kelaskedua-kan. Penulis terpaksa memilih, jawapannya hanya satu.


Dan katakanlah: “Telah datang kebenaran (Islam), dan hilang lenyaplah perkara yang batil (kufur dan syirik); Sesungguhnya yang salah itu sememangnya satu perkara yang tetap lenyap".[12]


Rujukan:

  1. Baharudin Ahmad, 2008, Agama dan Sains Moden, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka. Rujuk makalah “Falsafah Sains dan Masalah Keilmuan Umat Islam Kini”.
  2. Makalah Islam dan Falsafah Sains oleh Dr. Adi Setia Mohd Dom, UIAM untuk Seminar Sehari Pengukuhan Pandangan Alam Islam dan Syarahan Perdana Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas bertempat di Institut Integriti Malaysia pada 13 Disember 2009.
  3. Surah al-Mulk, ayat 3 hingga 4.
  4. Surah al-Hujurat, ayat 6.
  5. Surah al-Baqarah, ayat 30.
  6. Surah al-A'raf, ayat 56.
  7. Surah ar-Ruum, ayat 41.
  8. Surah Ibrahim, ayat 7.
  9. Hasrizal Abdul Jamil, 2009, Menemen: Ke Arah Pemakanan Halalan Thayyiban
  10. Hasrizal Abdul Jamil, 2008, Agenda 2008: Apa Erti Saya Menganut Islam?
  11. Hasrizal Abdul Jamil, 2008, Belajar Berfikir
  12. Surah al-Israa', ayat 81.

1 comment:

kamal said...

pandangan yang mantap!!kagum2