Tuesday, December 1, 2009

Mereka bercakap mengenai SQ, tetapi …



Berdasarkan pengalaman peribadi penulis setakat ini, sudah beberapa individu yang penulis temui (bukan atas perancangan penulis sendiri untuk bertemu insan-insan ini) bercakap mengenai SQ, yakni spiritual quotient, dimana boleh kita rujuk sebagai keperluan asas yang dimiliki setiap insan yang mendambakan pengharapan kepada sesuatu yang lebih berkuasa. Ada yang menggelarkan SQ sebagai ghorizatul tadayyun. Bukan pendefinisian yang memeningkan yang mahu dibawa penulis dalam entry ini, tetapi penulis sekadar mahu mengajak para pembaca untuk bersama-sama mengambil sedikit masa untuk muhasabah kembali pegangan kita selama ini.


Situasi pertama


Penulis bersama beberapa orang rakan baru sahaja turun dari puncak Gunung Brinchang, Cameron Highlands lalu terus menuju ke Balai Polis Brinchang bagi melaporkan ketibaan kami di kaki gunung itu. Kemudian kami melangkah kaki menapak sejauh beberapa kilometer (untuk mencari kereta sahabat penulis yang rupa-rupanya terletak hampir 15 kilometer dari kaki Gunung Brinchang) sebelum kami menumpang sebuah lori. Sebaik sahaja kami menaiki lori tersebut, kami dimaklumkan bahawa lori tersebut sebenarnya sedang menuju ke Kemboja dan pemandunya pula bermastautin di Puchong. Tetapi apa yang menarik perhatian kami adalah kata-kata yang dituturkan oleh pemandu lori itu beberapa ketika kemudian,


“Hati mau baik. Baru Tuhan bagi rezeki.” (Lebih kurang percakapan si pemandu lori itu)


Ya, kami terdiam seketika. Mungkin kerana letih berjalan. Tapi apa yang pastinya, penulis terdiam kerana perkataan yang dilafazkan itu keluar dari mulut seorang yang belum Islam.


Situasi kedua



Penulis dalam perjalanan pulang ke kampung sempena cuti Eiduladha. Setelah terlepas bas pada awalnya, penulis terpaksa bergerak ke Ipoh sebelum meneruskan perjalanan ke Kuala Kangsar dan akhirnya ke Taiping. Sewaktu menaiki bas menuju ke Kuala Kangsar, penulis duduk bersama-sama seorang pakcik berbangsa India. Melalui pemerhatian dan diskusi ringkas (sembang-sembang bermatlamat) antara penulis dan pakcik India itu, penulis mendapati pakcik India itu berasal dari golongan berpendapatan rendah, berkeluarga besar serta menghidap penyakit darah tinggi serta diabetes. Pakcik India itu juga menceritakan bagaimana akhlak mulia seorang cikgu (mungkin juga ustaz, penulis terlupa) yang sering melawatinya di rumah menghulurkan bantuan. Pakcik India itu sempat berpesan kepada penulis:


“Dey mapley, you baca baik-baik, nanti Allah tolong sama you juga. You pun tau kan itu Allah tolong sama orang yang banyak kerja.”


Oh, penulis sekali lagi terkedu. Tazkirah ringkas dari seorang teman yang ditemui sewaktu perjalanan yang mengesankan. Lagi sekali, peringatan itu disampaikan oleh mereka yang belum bersyahadah kepada Allah azzawajalla dan rasulNya.


Situasi ketiga


Untuk situasi ketiga ini penulis ingin mengajak para pembaca (dan penulis juga) untuk meletakkan diri masing-masing dalam situasi dimana kita (sebagai individu yang menggalas tanggungjawab syahadah ini), adakah kita mampu untuk meng-acknowledge keesaan Allah azzawajalla dan mengekspresikan perasaan itu dalam setiap gerak-geri kita seharian?


Dalam dua situasi di atas, kedua-dua peribadi belum muslim itu mampu untuk memperkatakan tentang SQ, tetapi mereka masih belum dikurniakan hidayah untuk tampil bersaksi akan Allah azzawajalla sebagai ilah dan Muhammad ibn Abdullah sebagai penyampai risalahNya.


Sebagai perbandingan, berapa ramai dari kita telah melafazkan kesaksian itu tetapi masih membiarkan diri dililit ikatan jahiliyah yang menutup mata hati, pendengaran dan pandangan mata kita daripada mengorak aksi untuk menyahut seruan syahadah. SQ itu masih belum cukup bagi kita untuk menjadikannya sebab utama untuk kita bertindak.


Setiap manusia mempunyai SQ itu, dan yang membezakan setiap manusia dalah bagaimana SQ itu mampu menggerakkan kita ke arah ketaqwaan dan membuahkan tindakan selaras dengan tuntutan SQ itu.


Dua situasi yang mula-mula disebutkan diatas menampilkan dua watak realiti yang hanya mampu bercakap, tetapi jika dibandingkan dengan kita, adakah kita juga mampu untuk bercakap mengenai topik yang sama seperti mereka?


Lebih daripada itu, adakah kita mampu untuk bertindak selaras tuntutan SQ kita?

1 comment: