Saturday, December 19, 2009

Obsesi ini


Suara yang memanggil ummat itu bergema lagi, diulang 5 kali sehari, bersahut-sahutan dari ceruk pasar di Kamunting, Perak hinggalah ke hiruk kota Istanbul, Turki. Suara itu bergema dalam satu frekuensi yang sama, dari 1430 tahun yang lampau, meniti perubahan zaman, menemani kegemilangan dan terkuburnya Khilafah Islamiyah pada 1924, hinggalah kini.


Dengungan gemersik suara para bilal di seluruh dunia itu tidak lain dan tidak bukan hanyalah untuk menyeru ummat ini untuk meninggalkan segala yang duniawi, bagi terjun dalam dimensi yang lain, iaitu dimensi ukhrawi, hanya untuk beberapa minit.


Azan itu diserukan lagi. Mengajak ummat ini memperbaharui ikrar kepada Ilahi. Memperbaharui tekad kepada Nya. Memperbaharui obsesi kepada Rabb kita.


Membawa pembaharuan itu perlu. Dan segala yang perlu itu adalah yang tertanam dalam fitrah manusia.


Tiada pilihan


Manusia sentiasa berdepan dengan pilihan. Antara baik atau buruk. Hitam atau putih. Bahagia atau celaka. Pilihan itu selalu ada, memilih itulah yang dipertanggungjwabkan kepada kita.


Daripada Amirul Mu’minin Abu Hafs Umar bin Al-Khaththab Radhiyallahu ‘anhu, katanya: “Aku telah mendengar Rasulullahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sesungguhnya segala ‘amalan-‘amalan itu bermula dari niat-niat dan sesungguhnya bagi setiap orang itu (ia akan memperoleh berdasarkan) untuk apa yang diniatkannya. Maka barangsiapa (niat) hijrahnya kerana Allah dan RasulNya, maka hijrahnya itu adalah untuk Allah dan RasulNya dan siapa barangsiapa hijrahnya unutk maksud dunia, maka ia maksudnya itu akan terpenuhi atau kerana seorang wanita, maka ia akan mengahwininya. Oleh yang demikian hijrahnya adalah berdasarkan kepada maksud apa hijrah itu dilakukan.[1]




Ada sela kita memilih untuk terus berada di bawah sistem kufur, tanpa kita sedari. Dan kita bahagia, malah redha hidup di bawah naungan sistem ini. Tiap-tiap malam kita dibuai dengan mimpi indah, sambil badan kita dilitupi dengan selimut jahiliyyah yang tebal dan menghangatkan badan. Tanpa kita sedari bahaya api kemusnahan tamaddun yang sedang menggila memusnahkan ikatan ruhiyah insan dengan Allah SWT, kita terus hanyut, larut dalam mimpi itu.


1431 ini adalah detik dimana kita harus bangkit dari mimpi, menukar selimut kekufuran kepada selimut Islam.


Ada ketika dimana kita meluahkan fikiran, kita merasakan kita betul. Logik mudah. Tak mungkin salah. Kitalah benar, yang lain salah. Tanpa kita sedari, kita melontarkan pandangan sesuai dengan pandangan alam (worldview) menerusi kaca mata kekufuran. Kaca mata yang monokromatik. Hitam atau putih. Betul atau salah. Kaya atau miskin. Menang atau kalah. Pandai atau bodoh. Mulia atau hina.


Sifat-sifat asasi Kebudayaan Barat, menurut al-Attas, adalah berasaskan kepada falsafah keraguan, berpandukan faham humanisme dan dualisme serta berteraskan pandnagan hidup yang tragik. Falsafah keraguan yang mengasaskan segala hal ehwal keilmuan dengan dugaan dan sangkaan akal telah menyebabkan apa yang datang dari agama ditolak dan dianggap sekadar mitos dan tahyul. Sementara faham humanisme ialah falsafah yang mementingkan keupayaan manusia semata-mata dan penekanan hanya kepada kehidupan keduniaan. Faham dualisme merujuk kepada penduaan yang mutlak tentang hakikat termasuk hakikat kebenaran walaupun kedua-duanya bertentangan antara satu sama lain. Sementara pandangan hidup yang tragik merupakan pandangan yang menerima pengalaman kesengsaraan hidup manusia sebagai satu kepercayaan yang mutlak yang memepengaruhi peranan manusia dalam dunia hasil dari penolakan kebenaran yang datang dari agama. Kesemua ini mengakibatkan Kebudayaan Barat telah menceraikan agama dari manusia dan melonggarkan peranannya terhadap kehidupan seharian. … [2]


1431 ini adalah titik perubahan kita. Tukarlah kaca mata kita dengan kaca mata Islam, yang mengajarkan keindahan hidup di bawah sistem Islam, kaca mata yang membawa 1001 warna hidup di bawah syariat Allah SWT.


Bukan kerja seorang


Melakukan perubahan ini bukan kerja seorang. Kudrat seorang tidak mampu untuk mendatangi khalayak berjumlah 27 juta orang. Kudrat seorang tidak akan mampu mendepani kekuasaan tirani yang mencengkam seluruh negeri.


Ianya kerja secara kolektif. Berkumpulan.


Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya.[3]


Mari berubah. Tiada pilihan. Hanya tindakan.


Rujukan:

  1. Dua orang Imam Muhadsitsin, iaitu Abu 'Abdullah Muhammad bin Ismail bin Ibrahim bin Al-Mughirahn bin Bardizbah Al-Bukhari dan Abu Al-Husain Muslim bin Al-Hajjaj bin Muslim Al-Qusyhairi An-Naisaburi dalam kitab Shahih kedua-dua mereka (Shahih Al-Bukhari dan Shahih Muslim) yang merupakan dua kitab paling shahih yang pernah dikarang.
  2. Makalah Makna dan Matlamat Agama dalam Islam oleh Dr. Mohd Farid Mohd Shahran, UIAM untuk Seminar Sehari Pengukuhan Pandangan Alam Islam dan Syarahan Perdana Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas bertempat di Institut Integriti Malaysia pada 13 Disember 2009.
  3. Surah Ar-Ra'd, ayat 11.

2 comments:

Anonymous said...

salam bro, lame x nampak update blog :))

salam maal hijrah. insyaAllah jumpe next sem okeyh.
:))

Anonymous said...

salam bro, lame x nampak update blog :))

salam maal hijrah. insyaAllah jumpe next sem okeyh.
:))