Wednesday, April 28, 2010

Demi matahari

Gambar hiasan


Demi diri manusia dan yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya); serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertaqwa.

(Surah As-Syams 91: 7 - 8)


Manusia sentiasa diletakkan di dalam situasi memilih. Dan di setiap detik, manusia terpaksa memilih.



Dimulai dari saat celiknya mata seseorang itu di waktu subuh, dia bisa memilih untuk menempuh dingin pagi untuk menunaikan solat di musolla ataupun dia bisa saja menutup telinganya dengan bantal dan meneruskan tidur.



Di kantor pula, seorang itu boleh saja mengambil pilihan untuk melaksanakan tanggungjawab sebaik mungkin tanpa perlu pengawasan total oleh pihak atasannya. Lebih mudah jika dia membuat kerja sambil lewa ketika ketiadaan penyelianya, tetapi dia masih mendapat habuan gaji yang sama.



Seorang suami ketika berjauhan daripada istrinya atas urusan perniagaan mungkin saja mengambil peluang itu untuk melakukan perkara-perkara yang curang terhadap pasangannya yang berada nun jauh di rumah. Atau, si suami itu boleh saja berkata tidak kepada godaan wanita lain dan kekal setia terhadap istrinya.



Si mahasiswa yang sedang melalui hidup di kampus terpaksa menyiapkan puluhan tugasan yang diamanahkan oleh pensyarahnya. Dia boleh membuat pilihan sama ada kekal jujur dalam menuntut ilmu, atau mengambil jalan mudah dengan meniru hasil tugasan rakannya.



Dan lain-lain contoh yang boleh difikirkan dalam kehidupan kita seharian.



Sebelum sesiapa pun diajak berbicara mengenai sisi-sisi besar kehidupan seorang manusia; sama ada dari segi sosial, ekonomi, politik dan ketenteraan; maka sebaiknya dia difahamkan terlebih dahulu mengenai hakikat mengawal diri.


Tiada gunanya seseorang itu mencapai gelaran yang paling tinggi sekali dalam hierarki sosial, tetapi gagal menahan dirinya dari bersikap bongkak terhadap mereka yang lebih rendah kedudukannya.



Tiada erti sesebuah universiti itu menjadi sebuah universiti yang giat mengeluarkan hasil kajian yang mantap, sedangkan pembangunan spiritual mahasiswanya terabai. Pihak atasan yang ghairah mengejar beberapa set KPI, sumbangan para penaja yang berjumlah puluhan juta ringgit dan juga sedikit kepentingan politik terpaksa dibayar dengan ketandusan ruhani anak-anak muda di universiti.



Apalah makna sesebuah negara yang mempunyai pencapaian ekonomi yang paling memberangsangkan, sedang realitinya rakyat negara itu terbeban dengan pelbagai cukai demi mengejar cita-cita negara. Segala macam ufti yang perlu dilangsaikan walhal anak-anak di rumah telah serak merengek kelaparan.



Negara yang mempunyai kuasa ketenteraan yang dahsyat sekalipun tidak mampu untuk menjamin keamanan di dunia ini. Satu keputusan tanpa pertimbangan yang waras oleh seorang jeneral bisa mengubah sebuah tanah yang subur dialiri sungai menjadi lapangan gersang yang dipenuhi lopak-lopak darah.



Kesan-kesan yang buruk terbukti berlaku jika seseorang itu gagal mengawal diri. Dan insan lain yang terpaksa membayar harganya.



Setelah diperjalankan menelusuri sejarah dunia yang tidak henti dengan segala macam kerosakan, harusnya kita sedar bahawa tanggungjawab untuk mengembalikan seluruh ummat manusia ini di bawah sistem yang mampu memelihara mereka sebenarnya terletak di atas bahu kita, umat Islam.



Akan tetapi kita telah disedarkan akan hakikat bahawa kita sentiasa cenderung untuk membuat pilihan yang salah, yang kelihatan indah di mata kita. Wanita yang menawan, kilauan emas permata dan perasaan gah ketika berada di tampuk pemerintahan sudah cukup untuk menggelapkan mata hati kita dari melihat kesan jangka panjang akibat membuat pilihan yang salah.



Dua golongan yang telah digariskan oleh Al-Ustadh Fathi Yakan (Allahyarham) di dalam kitab beliau Madha Ya’ni Intima’I Lil-Islam (Apa Ertinya Saya Menganut Islam) untuk mengenal golongan yang terlibat dalam memerangi nafsu:


  1. Golongan yang tunduk mengikut hawa nafsu mereka (Surah Al-Jathiyah 45: 23)
  2. Golongan yang bermujahadah dan bertarung menentang hawa nafsunya (Surah Ali-‘Imran 3: 135)

Post-mortem diri kita semula. Kita di pihak yang mana?



Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih - bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih - itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat).

(Surah As-Syams 91: 9 - 10)

3 comments:

Unknown said...

subhanallah akhi.. syukran atas perkongsian. sangat bermanfaat.

Apai said...

rsa rindu lak nk g recharge

Abu Khalid said...

Yuk mengecas batin!