Sunday, May 2, 2010

Silau Istana Rushdie


Yaqzan memerhatikan keadaan di dalam dewan peperiksaan itu, dari hujung ke hujung. Ada antara rakannya sudah mula keluar meninggalkan dewan itu, barangkali mereka sudah habis menjawab. “Mungkin juga mereka sudah menemui kebuntuan, lalu mengambil keputusan untuk pasrah lalu berhenti untuk menjawab”, Yaqzan mengomel seorang diri.





Dewan peperiksaan itu terasa sunyi, hanya desir selakan kertas soalan dan bunyi geseran karat kipas buruk yang menjadi irama menemani calon-calon peperiksaan sepanjang dua jam sesi itu berlangsung. Sekali-sekala tangisan seorang dua mahasiswi memecah suasana tenang di dewan itu, dek kegerunan mengenangkan bagaimana payahnya menjawab kertas matapelajaran itu. Mereka sedia maklum mengenai set soalan yang disediakan oleh Prof Madya Dr. Rushdie yang boleh dikatakan sebagai amat mencabar. Mereka kenal benar helah dan jenis soalan-soalan killer yang sering diselitkan oleh Dr. Rushdie di celahan soalan-soalan kacang yang dianggap mudah untuk diselesaikan, namun natijah buruk yang mereka terima akibat membuat anggapan mudah itulah killer yang sebenarnya.


Di tengah-tengah lautan mahasiswa yang memenuhi dewan kuliah itu, beberapa orang pengawas peperiksaan mundar-mandir bagi memenuhi kehendak mahasiswa yang mungkin memerlukan bantuan dalam menjawab soalan.


Di satu sudut dewan peperiksaan yang agak suram, Yaqzan sedang tekun memikirkan jawapan untuk soalan 16. Dengan masa yang makin suntuk, berbaki lebih kurang 10 minit lagi, Yaqzan hampir berputus asa. Tapi dia segera sedar, dia tidak harus mengeluh, al-Ma’arij ayat 19 sudah jelas baginya. “Siapakah yang telah mengasaskan sistem penamaan taksonomi binomial bagi menamakan organisma-organisma hidup di biosfera ini?”, Yaqzan sudah berkali-kali menyelak mukasurat lain bagi menemukan klu-klu yang mungkin memudahkannya menjawab soalan ini, tetapi Dr. Rushdie sememangnya amat licik dalam menyediakan set soalan ini. “Argh”. Dia terpaksa membuat pilihan, antara Carl Linnaeus, Robert Köch dan Louise Pasteur.


“Siapa mereka ini?”, Yaqzan bingung, “Mereka ini ateis, dan aku membenamkan ‘aqidah aku untuk mempelajari hasil kajian mereka demi mengejar segulung ijazah? GILA !”


***


Waktu kuliah matapelajaran Falsafah Sains pada hari itu terasa singkat. Tajuk akhir iaitu Sains dan Agama kelihatan sengaja diambil mudah oleh Dr. Rushdie, begitulah pemerhatian Yaqzan. Teguran Allah yang berbunyi afala tubsiruun begitu membekas di dalam hatinya. Pada kebiasaannya, Dr. Rushdie akan menggunakan waktu yang masih tersisa untuk sesi soal dan jawab serta bertukar pandangan.


“Apakah pegangan kita, dalam perkara ini? Sains dan agama, adakah kedua-dua entiti ini saling melengkapi antara satu sama lain?”, Dr. Rushdie melontarkan pertanyaan kepada puluhan mahasiswa, yang kebanyakannya beragama Islam.


“Saya melihat sains sebagai alat, untuk kesenangan manusia. Biar pun al-Quran banyak menitipkan ayat-ayat yang mengandungi fakta saintifik, tetapi pada secara realitinya, sains tidak dapat maju sekiranya agama menjadi sandaran”. Hadirin yang ada kelihatan terpinga-pinga. Kuliah yang bertempat di bilik seminar itu mulai hingar dengan suara-suara bisikan, ada yang menyetujui dan tidak kurang juga yang membangkang pandangan pensyarah mereka itu.


“Inikah buah fikiran seorang yang bergelar saintis muslim?”, intuisi Yaqzan membentak. Dia mengangkat tangannya, lalu menawarkan diri untuk memberi perspektif yang berbeza. “Silakan Yaqzan”.


“Saya ingin membawa ingatan hadirin semua kepada satu peristiwa yang pernah dialami oleh seorang ahli fizik teoretikal dari Britain, Stephen Hawking”, matanya bundar memerhati sekeliling, membaca riak muka rakan-rakannya, “Stephen Hawking, pada usia mudanya adalah seorang yang menentang idea kewujudan Tuhan. Boleh dikatakan dia merupakan seorang yang seangkatan dengan Dr. Rushdie sendiri.” Gelak tawa mulai pecah di satu penjuru dewan kuliah, seolah-olah meraikan kedudukan ahli fizik agung itu yang sama dengan pensyarah mereka. Dr. Rushdie tersenyum.


“Apabila umurnya mencecah 21 tahun, Hawking tiba-tiba jatuh sakit dan dia tidak dapat lagi berjalan, dia hanya mampu terlantar di atas katil. Menurut seorang doktor yang telah melakukan diagnosa terhadap Hawking, dia mendapati bahawa Hawking telah menghidap sejenis penyakit motor neuron, yang dikenali oleh komuniti sains perubatan seluruh dunia sebagai atrofi otot tulang belakang, ataupun spinal muscular atrophy.”, sebilangan mahasiswa dari jurusan pendidikan yang terpaksa mengambil subjek ini terlopong mendengarkan terminologi saintifik yang keluar dari mulut Yaqzan. “Hawking dianggarkan hanya dapat hidup untuk tiga bulan sahaja, dan Hawking setelah itu terus menyendiri dan mula menyibukkan dirinya dengan melakukan kajian mengenai puluhan jasad yang terdapat di angkasa lepas.


Ratusan formula matematik yang lahir terinspirasi dari pemerhatiannya terhadap pergerakan objek-objek yang mengitari galaksi dan dalam kesimpulan yang dibuat oleh Hawking melalui kajiannya, dia mendapati bahawa penyebab terakhir untuk setiap penciptaan adalah ketuhanan.”, Yaqzan memerhatikan gelagat Dr. Rushdie yang mula goyah terhadap apa yang dikatakannya, “Hawking lalu mengeluarkan satu kenyataan yang berbunyi begini: The actual point of creation lies outside the scope of presently known laws of physics. Dan Hawking telah dinafikan hak untuk menerima hadiah Nobel, atas kejayaannya menemui formula matematik yang dapat menjelaskan sifat-sifat lubang hitam, setelah dia mengeluarkan kenyataannya itu.”


“Soalan kamu?”, Dr. Rushdie merenung tajam Yaqzan. Mahasiswa lain mula berlagak seperti cacing kepanasan, suhu perdebatan sudah mencecah ratusan Celcius mungkin.


“Hawking yang agung itu menemui ketuhanan setelah beruzlah memahami keindahan percaturan Tuhan. Itu yang disebut di dalam al-Mulk ayat tiga dan empat. Pemerhatian yang membawa kepada hakikat ketuhanan, bagi saya, itulah sains yang sebenarnya.”, Yaqzan menguji dengan tenang, “Soalan saya ialah, bagaimana Dr. Rushdie, sebagai seorang Islam, dapat menolak kebenaran tentang ketuhanan?”.


“Yaqzan … “, semua mata tertumpu kepada Dr. Rushdie, “saya memegang kepada premis bahawa sains ini adalah satu wasilah untuk kesenangan manusia semata-mata, bukan untuk mencari ketuhanan.”, dia menarik nafas, bersedia untuk kemungkinan buruk memperdebatkan isu ini dengan Yaqzan, “Segala ijazah kamu, hinggalah ke peringkat sarjana, adalah untuk meraikan kemanusiaan ini. Sedarkah kamu semua, bahawa kita berada di kemuncak pencapaian sains pada hari ini adalah hasil daripada kita menolak ketuhanan?”, dia berhenti seketika, lalu menyambung hujahnya. “Kebenaran itu adalah realiti, kemanusiaan itu adalah realiti Yaqzan. Maka kebenaran itu adalah terkandung di dalam kemanusiaan itu sendiri. Jadi, dimanakah Tuhan?”, dia berseloroh. Matanya memandang sinis ke arah Yaqzan, seolah-olah dia telah berjaya memenangi perdebatan ini.


“Dr. Rushdie, saya merasakan ada yang tidak kena dengan hujah yang Dr.utarakan sebentar tadi”, bisik-bisik kecil mula muncul di sana sini, merebak memenuhi ruang bilik seminar itu, barangkali kerana skeptik terhadap Yaqzan yang berani mendatangkan hujah untuk membenamkan ketinggian ilmu Dr. Rushdie, “Kemanusiaan itu bukanlah kebenaran.” Wa qul jaaa al-haqqu wa zahaqal baatil, innal baatila kaana zahuuqaa.


“Hadirin sekalian, Northbourne dalam penulisannya telah menghuraikan dengan baik mengenai sains moden yang dianut oleh masyarakat dunia ketika ini. Baginya, sains moden adalah satu kesesatan yang nyata, saya ulang, satu kesesatan yang nyata, kerana ianya hanya terbatas kepada objek-objek yang bersifat empirik dan berpaksikan kepada kemampuan manusia untuk untuk menguasai alam dan mencari keuntungan secara ekonomikal dan komersial”, hujah Yaqzan tepat mengenai sasaran, bak hujah Nabi Musa ‘alaihissalam menghunjam keangkuhan Fir’aun di tengah-tengah istana kepalsuannya.


“Di bahagian berikutnya, Northbourne mengkritik mereka yang menggunakan preteks kemaslahatan kemanusiaan untuk menghalalkan sains moden, dimana sains moden pada hari ini sangat bersifat humanistik. Kemanusiaan adalah tujuan terakhir sains. Sebagai akibatnya, sains telah kehilangan nilai dan sains pada zaman ini hanya dapat diukur melalui skala pencapaian dan kemajuan penyelidikan. Noktah.”, Yaqzan menyudahkan dalilnya.


Dr. Rushdie menggenggam kuat buku limanya, yang sengaja disembunyikan di dalam kocek seluarnya. Pensyarah muda lulusan Barat itu langsung tidak menyangka akan ada mahasiswa universiti tempatan yang mampu untuk mengeluarkan hujah-hujah seperti ini. Mentornya di University of Cambridge, yang merupakan seorang pengkagum kapitalisme, pernah berpesan kepadanya, “Berjaga-jagalah dengan mereka yang berpegang dengan Islam, mereka mempunyai senjata sebenar untuk meruntuhkan semua teori yang kami ajarkan di sini”. Dia sudah mula goyah dengan apa yang dihadapinya ketika ini.


“Bagus Yaqzan. Satu demi satu pendapat saya kamu patahkan dengan hujah. Tetapi ingat, kita hanya bertukar-tukar pandangan sebentar tadi, bukannya berdebat mencari siapa yang betul dan siapa yang salah. Inilah idealisme mahasiswa yang pihak pentadbiran hendak terapkan. Baiklah, untuk kuliah minggu depan, kita akan membincangkan tutorial, yang akan dikendalikan oleh Cik Chan. Kuliah bubar ya, jumpa lagi di lain masa.”, Dr. Rushdie kelihatan bergegas keluar dari bilik seminar itu, sambil menjinjing failnya yang tebal dan melonggar-longgarkan tali lehernya. Panas agaknya.


Deretan digit di jam tangan Casio Yaqzan menunjukkan masa masih lagi berbaki lebih kurang sepuluh minit. “Huh, escapism. Boleh saja dia teruskan sesi penghujahan tadi.”, Yaqzan mengemaskan beg lalu terus menuju ke kafeteria.


***


“Baiklah, masa peperiksaan kini tinggal lagi lima minit. Pastikan kamu telah siap menjawab dan jangan lupa untuk mengisikan segala maklumat penting yang diperlukan.”


Yaqzan terjaga dari lamunannnya seketika tadi. Suara garau ketua pengawas peperiksaan itu seakan-akan menggegarkan dewan peperiksaan itu, bagai gempa yang berlaku di Haiti baru-baru ini. Lima minit sebelum kesengsaraan ini berakhir.


Yang sebenarnya, Yaqzan sudah pun bersedia dengan jawapan untuk soalan itu. Baik secara literal mahupun jawapan yang sinikal terhadap pensyarahnya itu. Cuma dia bingung dengan jangkauan pengetahuan Dr. Rushdie yang tidak diatur dengan fikrah Islam. “Ummah Islam tanpa nilai Islam, nilai Islam tanpa ummahnya. Barangkali itulah yang mengganggu fikiran Syeikh Muhammad ‘Abduh satu ketika dahulu ketika dia membawa diri ke negara Perancis.”, Yaqzan berbicara sendiri.





Dengan tenang, dia mengalunkan ayat ke-190, surah ‘ali Imraan, bismillah, dan dia pun melakarkan jawapannya di atas kertas yang telah disediakan. Selesai sudah kertas jawapan dikutip, Yaqzan merasakan hilang sudah satu beban di bahunya. Afaro-aita manittakhoza ilahu hawa, doanya agar Dr. Rushdie kembali ke alam nyata, tanpa fantasi palsu binaan nafsu itu.

11 comments:

AmirSyafiq said...

slm, akhi
masyaAllah
anta tulis sendiri ke?

Anonymous said...

Wa'alaikumussalam Amir Syafiq,

Yup, ana type sendiri

Cubaan kecil-kecilan dalam menulis

faez said...

mantap akhi...

faez said...

mantap akhi..

faez said...

mantap akhi.

Perantau said...

faez sgt kagum nampaknya... btw teruskan menulis. ana terpina selama 5 minit. mmg lah nta ni anak didik penulis blog. :p

Anonymous said...

faez kagum sampai terpaksa ulang komen ut..heheh

jangan sampai jadi muslim 'blog' ;P

lebahmanis said...

masyaallah akhi...ana rs terpanggil utk wat cmni..al 'ilmu fisSudur laisa fisSutur..

Anonymous said...

=))

awang, ur writing semakin best lah bro.

=)) jumpa lagi k. jangan terus lose contact k bro. =))

Unknown said...

salam ziarah..
mantap akhi.. moga terus tsabat..

tuantaufik said...

outstanding! Keep up the good work.