Saturday, September 25, 2010

The dawn blanket


Babak 1


Dalam suasana yang masih agak suram, ditemani melodi cengkerik dan dinginnya pagi sesudah hujan, ada kelibat seorang nenek tua sedang terbongkok-bongkok menggeledah tong sampah besar mencari tin kosong, botol plastik dan kotak kadbod. Di satu selekoh yang lain, kelihatan beberapa orang lagi nenek tua yang (rasanya) bersaing untuk mencari bahan yang boleh dikitar semula. Untuk dijual atau untuk disimpan itu tak dapat pula nak dipastikan. Yang jelas, mereka bersaing untuk mencari bahan kitar semula, di awal pagi, beberapa minit sesudah azan subuh berkumandang.


Babak 2


Dari jauh ternampak seorang pakcik yang agak gempal berserta anjing peliharaannya bersiar-siar di kawasan sekitar taman permainan. Tekunnya pakcik itu memegang tali yang diikat pada anjingnya itu, ke hulu ke hilir menurut jejak langkah anjing itu. Apabila anjing itu berjalan, pakcik itu berjalan. Dan bila anjing itu berhenti, pakcik itu pun turut sama. Azan subuh baru sahaja kedengaran di saat pakcik tu berjalan melepasi surau di taman perumahan mewah itu. Dan hanya muazzin sahaja yang ada di dalam surau tersebut.


Babak 3


Seorang doktor dari Syria menghadiri sebuah seminar di Amerika Syarikat bertanya dengan sinis secara monolog apabila melihat jadual seminar yang bermula pada pukul 6.00 AM, “Ada ke orang yang nak datang ke seminar sebegini awal?”. Keesokan harinya, doktor itu terkejut apabila dia tiba sedikit lewat kerana menunaikan solat subuh terlebih dahulu, rupa-rupanya dewan seminar itu sudah dipenuhi hingga ke ruang belakang dewan.


***




Allah jualah Yang membelah cahaya subuh (yang menyingsingkan fajar), dan yang menjadikan malam untuk tinggal berehat, dan menjadikan matahari dan bulan untuk mengira waktu (menurut peredarannya). Yang demikian itu adalah kuasa penentuan Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui.

(Surah Al-An’am 6: 96)


Dirikanlah olehmu sembahyang ketika gelincir matahari hingga waktu gelap malam, dan (dirikanlah) sembahyang subuh sesungguhnya sembahyang subuh itu adalah disaksikan (keistimewaannya).

(Surah Al-Isra’ 17: 78)


(Setelah kamu mengetahui yang demikian) maka bertasbihlah kepada Allah semasa kamu berada pada waktu malam dan semasa kamu berada pada waktu subuh.

(Surah Ar-Rum 30: 17)


Dan juga hendaklah engkau bertasbih kepadaNya pada waktu malam, dan ketika bintang-bintang tenggelam (pada waktu subuh).

(Surah At-Tur 52: 49)


***





Justeru, apa motivasi untuk kita bangun pagi di waktu subuh? Mampukah kita untuk menyaingi nenek, pakcik dan peserta seminar seperti dalam tiga babak di atas?


Kita mungkin tak ambil kisah untuk bangun pagi semata-mata untuk menggeledah tong sampah, walk the dog (sebab kita tak bela anjing pun) atau pun seminar. Kita hanya akan ambil port untuk bangun awal bila nak ke kerja, kuliah atau interview. Tak pun kalau dah set nak jogging di waktu pagi.


Sedar tak sedar, kita hanya akan ambil kisah untuk bangun pagi bila kita ada kepentingan duniawi. Hakikatnya yang menjadikan segala kepentingan duniawi tu berlaku adalah Allah. Yang sepatutnya kita dahulukan dalam setiap urusan. Termasuklah urusan bangun pagi kita.