Salam 6Ramadhan 1432
Anakanda pewaris-pewaris da’wah yang dimuliakan Allah.
Segala pujian untuk Allah Rabb universe yg maha luas ini. Salawat serta salam untuk Junjungan Besar Muhammad s.a.w. dan para du’at hingga ke akhir zaman.
Sempena beradanya kita di dalam Madrasah Ramadhan yg penuh keni’matan ini, di mana tanpa diminta-minta…cakerawala fikiran kita menerawang jauh hingga ke langit samawat, merindui kerahmatan dan kasih sayang serta syurga yang abadi dan pertemuan dengan Allah s.w.t.
Di satu sisi lain ingatan kita menghimbau masa lampau kita, sehingga mudah terbayang di depan mata kita segala kenangan-kenangan lama yang pahit dan manis, yang bermanfaat buat diri dan ummah, mahupun yang memudaratkan ‘alam dan kemanusiaan, dosa-dosa yang telah kita lakukan samada secara sedar mahupun tanpa sedar.
Manusia yang baik-baik di dalam masyarakat kita, mengajak kepada penghayatan Ramadhan yang syahdu, yang hening, yang menuluskan hati kita kedakapan Allah s.w.t. Mereka berbicara di dalam media-media rasmi dalam ruang-ruang bicara yang dibenarkan oleh system sekularisme kepada mereka.
Tetapi di sana – dan mukmin biasa mungkin dimaafkan – ada sisi pendidikan Ramadhan yang juga besar tetapi teralpakan - iaitu sisi pembinaan diri para du’at yang mampu mendokong dengan semaksimum qudratnya beban-beban da’wah dengan segala rencamnya sehinggalah ia balik mengadap Rabbnya.
Ramadhan para pewaris da’wah seharusnya ada tamayuz (ada satu tingkatan yang lebih daripada perasaan dan kefahaman seorang muslim biasa), iaitu bahawa madrasah ini adalah MADRASAH IMAN< DA’WAH DAN JIHAD. Ianya sepertimana kalam yang menyebut bahawa… masjid al-Haram membawa kita ke dalam keagungan dan keesaan Allah Rabbul Jalil… masjid an-Nabawi membawa kita ke alam sirah kehidupan, da’wah dan peperangan Ar-Rasul al-amin… manakala masjid al-Aqsa membawa kita ke alam jihad yang besar di abad kita ini…
Anakanda pewaris-pewaris da’wah yg dimuliakan Ramadhan,
Abah ada dua (2) perkara besar yang abah ingin titipkan kepada anakanda, mudah-mudahan ia akan menjadi bekalan yang amat berguna di sepanjang perjalanan da’wah dan kehidupan anakanda sebagai para du’at yang multazim.
Dunia mahasiswa adalah dunia yang tulus, ringan bebanannya dan tiada simpang-siurnya. Dunia anak-anak muda yang idealis. Dunia di mana fizikal, minda dan mata, kudrat dan keringat di alam terbaik ia berada. Maka, manfa’atilah sebaik-baiknya.
Dunia kerjaya yang kemudian akan disusuli dunia berumahtangga…adalah dunia sebenar. Ujian akan silih berganti dan dalam bentuk yang pelbagai dan penuh rencam. Hari-hari berlalu nanti seperti kita meniti di atas sebatang buluh yang licin. Maka, manfa’atilah masa di dunia siswa ini sebaik-baiknya dengan membuat persiapan yang secukupnya.
Pertamanya, dunia siswa adalah dunia minda dan buku. Membaca buku-buku dan banyak membaca adalah persiapan yang utama untuk du’at.
Isikan masa-masa senggang (bahkan masa itu perlu dicari dan disediakan) dengan membaca buku-buku fikrah da’wah dan tarbiah, sejarah-sejarah Islam dan tamadun-tamadun, tafsir, hadith dan fiqh. Penguasaan bahasa Arab, bahasa Inggeris, dan bahasa Melayu yang baik nilai estetikanya juga adalah amat penting.
Minda yang terpenuhi dengan ilmu dan tsaqafah, akan menjadikan pembacaan Al-Quran lebih enak dan bermakna, kerana kita akan lebih memahami tafsiran ayat-ayat yang kita tatapi.
Berkongsilah buku dengan kawan-kawan. Tidak malu meminjam buku-buku yang tidak mampu dibeli.
Malas membaca adalah di antara sifat Melayu yang kita mesti bunuh. Rajin membaca adalah sifat bangsa yang maju, bahkan ia adalah wajah hadharah Islam yang pernah gemilang suatu masa dahulu.
Alam siswa adalah masa terbaik untuk menerapkan ilmu-ilmu. Di alam kerjaya dan rumah tangga nanti, masa begitu mencemburui kita.
Daripada pengalaman pakcik-makcik, apa yang kami baca semasa belia-siswa dulu itulah yang paling berkesan dan mantap di dalam ingatan dan perasaan. Ramai pakcik-makcik yang boleh mengungkap balik isi-isi buku Petunjuk Sepanjang Jalan (Milestone @ Ma’alim Fittoriq) karya AsSyahid Syed Qutb yang mereka baca 20-30 tahun yang lalu semasa umur mereka di awal 20’an.
Imam Al-Banna dalam usia yang relitif muda telah membaca sejarah ketamadunan dan sejarah Islam dengan begitu cemerlang sekali. Hasilnya, adalah sebuah da’wah impak tinggi. Baca analisis ini dalam buku Agenda Kebangkitan Semula Ummah menurut gagasan Imam Hassan al-Banna. (Buku ini ditulis supaya generasi pewaris da’wah “tidak terlindung” daripada fikrah asal, berinteraksi terus dengan Al-Mursyid Al-Banna kerana inilah faktor asasi kegemilangan da’wah ini.)
Imam Al-Banna tidak banyak mengarang buku. Mindanya terhimpun dalam Majmu’ Rasail Imam Hassan Al-Banna. (buku yang wajib ada-dan-dibaca). Tetapi ribuan buku-buku nukilan para du’at, murabbi, sheikh dan kepimpinan Ikhwan adalah kupasan dan syarahan kepada “minda” hebat ini. Inilah hakikat keagungan Majmu’ Rasail.
Perkara kedua ialah amalan da’wah fardhiah. Inilah rel untuk kelangsungan da’wah. Ia sebuah do’a tidak kita lafaz, tetapi akan sampai ke telinga-basirah kita dan menusuk jauh ke lubuk hati kita, menjadikan kita mampu untuk terus istiqomah di jalan da’wah dan membantu membuang rawasip al-jahiliah kita.
Da’wah fardhiah adalah satu pendekatan yang kita pakaikan ke atas diri kita dalam setiap perhubungan kemanusiaan kita. Ia adalah interaksi “face-to-face”, secara inter-personal, satu ke satu. Ia bukan tebaran bahan-bahan, tetapi bahan-bahan yang diperturunkan melalui analisis detail terhadap penerimaan seseorang mad’u/mutarabbi.
Melalui da’wah fardhiah, kita akan mendapat mutarabbi-mutarabbi untuk pembinaan saf kita atau sekurang-kurangnya para mad’u yang memiliki kesedaran dan kefahaman Islam yang baik.
Bahkan mungkin ada di kalangan mutarabbi atau mad’u kita itu akan menjadi seorang qiyadah da’wah di tahap matang usianya nanti, atau seorang ilmuan yang hebat di hari muka, atau seorang bakal da’i yang mampu memaut ribuan mad’u, atau menjadi seorang tokoh negara masa depan.
Seseorang akan selalu – secara langsung atau tidak langsung – menyatakan syukur kepada Allah kerana memaham dan membawakan dirinya kepada Addinul Islam. Jika kita adalah pendahulu yang telah melorongkan kepadanya jalan hidayah ini, alangkah bahagianya kita kerana kita turut termasuk dalam lingkaran orang yang telah berjasa kepada dirinya, turut berada di dalam do’anya kepada Allah.
Kadang-kadang kita berfikir daripada mana datangnya hembusan segar yang kembali menguatkan diri kita di jalan da’wah ini? Ia mungkin datang daripada munajat seorang mad’u atau mutarabbi kita 20-30 tahun yang lalu… mungkin di hadapan Ka’abah, atau di depan mushaf, atau di dalam tahajjudnya, atau di hadapan anak-anaknya, atau di dalam permufasiran da’wahnya…mungkin di dalam penulisannya atau di dalam kuliahnya.
Kita mendengar daripada Sheikh Jum’ah Amin dan Al-Qardhawi yang telah dimamah usia tetapi mengungkap kalimah-kalimah yang segar dan penuh bersemangat seperti besi-waja… di mana mereka mendapat kekuatan ini? Kekuatan itu datang daripada wajah-wajah pewaris da’wah yang berbicara-da’wah dengan mereka dan yang khusyu’ mendengar kalimah-kalimah tarbiah daripada mereka.
Berbuatlah da’wah fardhiah sebaik-baiknya, ia bekal besar dan hebat untuk hari muka. Berinteraksikan da’wah dengan rakan sekuliah, rakan sebilik, rakan-rakan masjid, hubungi kawan-kawan lama sekolah atau jiran.. Manfaatkan teknologi internet, sms, surat-menyurat – “face to face”. Perturunkan makalah-makalah kita, sebarkan bahan-bahan kita.
Da’wah fardhiah bermakna kitalah yang cepat-cepat mengucap salam bila bertemu dengan seseorang manusia. Itulah sunnah Ar-Rasul. Salam kita, salam da’wah, salam yang bertujuan, salam yang akan membentuk aura muamalah yang mengujakan. Selepas ucapan salam, cepat-cepat “perkenalkan” da’wah kita, samada melalui tingkah-laku mahupun butir bicara. Pahatkan wajahnya dihati kita, doa’akan mudah-mudahan dia bersama-sama kita suatu hari nanti, samada dalam bahtera IKRAM, setidak-tidaknya sebagai simpatisan gerakan Islam.
Ulangilah kepada orang lain seperti itu, dan kepada dia jika kita berkesempatan bertemu lagi dengannya. Syeikh ‘Abbas Asisi pernah secara sengaja memijak kasut rakan penumpang kenderaan awamnya, untuk memulakan sesi perkenalan da’wah.
Anakanda fillah walillah,
Demikianlah dua (2) daripada pengalaman besar pakcik-makcik yang abah kutip di sepanjang jalan da’wah ini. Mudah-mudahan anak-anak para pewaris da’wah akan menuruti jalan ini dan memperbaiki kekurangannya.
"Apakah kamu mengira bahwa kamu akan masuk surga, padahal belum datang kepadamu (cobaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu ? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cobaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya : "Bilakah datangnya pertolongan Allah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat." (QS Al Baqarah 2 : 214)
"Apakah kamu mengira bahwa kamu akan masuk surga, padahal belum nyata bagi Allah orang-orang yang berjihad di antaramu, dan belum nyata orang-orang yang sabar." (QS Ali Imran 3 : 142).
--- dari seorang abah. di laman facebook.
1 comment:
terbaik... sangat menyentuh hati. syukran akhi. atas perkongsian
Post a Comment