Tuesday, July 21, 2009

Surat terbuka buat Jin Biru


Jin Biru bin Jin Merah
Istana Pulasan Rendang,
666 Negeri Fantasia.

Yang Teramat Mulia,

Beralihlah Kepada Yang Haqq Dan Kuburkanlah Kebatilan

Dengan segala ta'zimnya, perkara di atas adalah dirujuk.

2. Untuk perhatian pihak Yang Teramat Mulia, melalui pemerhatian yang dibuat oleh ana, keadaan di Negeri Fantasia sudah menjadi semakin parah, baik dari sudut pemerintahan, keadaan sosialnya dan ekonominya, semuanya sudah kacau-bilau. Dalam surat ringkas ini, akan ana huraikan kecelaruan yang berlaku di setiap sudut yang telah disebutkan.

3. Sebagai makluman pihak Yang Teramat Mulia, keadaan di Negeri Fantasia ini sebenarnya telah melalui perubahan yang sangat drastik semenjak kemangkatan Ayahanda Yang Teramat Mulia sendiri kerana pemangku pemerintah yang dibai'ah, iaitu Perdana Menteri Harun, telah melaksanakan syari'ah Allah SWT di segenap aspek kehidupan rakyat Negeri Fantasia ini. Namun, semenjak Yang Teramat Mulia memegang tampuk pemerintahan, segala macam kecelaruan telah berlaku akibat undang-undang Allah SWT yang telah ditolak ke tepi bagai hampas yang tiada guna lagi.

4. Dari sudut pemerintahan, ingin ana tekankan disini bahawa setiap seorang gabenor yang dilantik oleh Yang Teramat Mulia, semuanya mengamalkan rasuah dalam segala urusan. Kronisme dijadikan tali ukur dalam memberi projek, nepotisme diletakkan di kedudukan yang dipandang mulia. Apakah semua ini Yang Teramat Mulia? Adakah semua ini selari dengan aspirasi mendahulukan rakyat dan prestasi diutamakan yang dicanang oleh Yang Teramat Mulia sendiri?

5. Keadaan rakyat sudah punah Yang Teramat Mulia. Anak-anak muda kita sudah tidak kenal siapa Tuhan dan siapa syaitan. Kenapa semua ini berlaku? Secara terus-terang ingin ana membentangkan segala hujah yang ada supaya Yang Teramat Mulia kembali mendaulatkan syari'ah Allah SWT di Negeri Fantasia ini. Setelah beberapa tahun kajian dibuat, ana mendapati pihak Yang Teramat Mulia begitu mudah meluluskan aktiviti-aktiviti hiburan dan melengah-lengahkan kelulusan program-program kerohanian, pihak pentadbiran wilayah juga lebih gemar mengambil sikap mencabar para 'alim 'ulama kita dalam menghalalkan setiap apa yang difatwakan haram dan melabelkan mereka dengan jenama-jenama yang hodoh-hodoh belaka, program-program realiti tv, drama-drama tahyul mudah benar disiarkan tanpa ada kerisauan akan 'aqidah dan jati diti anak-anak muda kita. Adakah keadaan ini selari dengan visi Yang Teramat Mulia untuk menjadikan Negeri Fantasia ini sebagai Negeri Islam contoh?

6. Sistem pendidikan sekular yang kembali mengambil tempat dalam Negeri Fantasia ini juga menimbulkan satu lagi kebimbangan. Dari peringkat tadika hinggalah ke universiti, pendidikan 'aqidah tidak lagi ditekankan, yang diberi perhatian hanyalah pendidikan 'ilmu duniawi. Teori-teori saintifik yang diajar tidak lagi disulami dengan penghayatan teologi kepada Allah SWT lalu terus menjadikan generasi muda kita tandus jiwa manakala ikhtilat di kalangan pelajar kita juga dipandang sepi. Bahasa 'arab yang sekian lama menjadi bahasa pengantar di sekolah-sekolah juga telah dihapuskan penggunaannya dan digantikan dengan bahasa yang entah dari ceruk kejahiliahan mana munculnya. Adakah ini ramuan yang sesuai untuk melahirkan generasi yang rabbani Yang Teramat Mulia?

7. Sejak Yang Teramat Mulia mula menduduki kerusi pemerintahan, golongan miskin di kawasan luar bandar makin terpinggir kerana hanya segelintir dari rakyat kita yang berkepentingan sahaja yang dapat menikmati pertumbuhan ekonomi Negeri Fantasia ini. Kenapa Yang Teramat Mulia? Kerana segala yang haram-haram di'amalkan dalam sistem pemerintahan Negeri Fantasia inilah keadaan ini berlaku. Lesen serta permit perniagaan yang menempah murka Allah SWT dengan mudah diberi kepada mereka yang kafir dan munafiq, yang ingin ber'amal dengan sistem perniagaan berpaksikan tauhid diketepikan hak untuk mendapat lesen. Apa ini Yang Teramat Mulia? Mereka yang jahannam ini dengan senang-lenang dapat merasai nikmat kepesatan kemajuan Negeri Fantasia, yang miskin dibiarkan terlonggok menanti mati. Ya, ketika itulah pegawai-pegawai Yang Teramat Mulia terhegeh-hegeh menampilkan kemunafiqan di kaca televisyen dan dada akhbar, kononnya prihatin dengan nasib golongan bawahan. Semua itu sampah semata-mata Yang Teramat Mulia, rakyat bawahan lebih mengetahui kebenarannya.

8. Rasanya setakat itu sahaja pembuktian yang dapat ana hamburkan ke muka Yang Teramat Mulia, surat-surat lain insyaallah akan menyusul dengan lebih banyak arang untuk diconteng ke muka Yang Teramat Mulia. Akhirul qalam dari ana, berbaliklah kepada yang haqq dan lemparkanlah kebatilan jauh, sejauhnya.

Sekian, syukran jazilan.

" Berkhidmat Hanya Untuk Khaliq "

Abdullah Ibnu Sulaiman
Si Peniup Ney

No comments: