Tuesday, July 20, 2010

Satorare (The Transparent)

Dalam external hard disk saya ada filem-filem dan sedikit video yang disimpan, tak banyak. Cuma filem dan video yang mendapat tempat dalam hard disk saya tu adalah yang saya kelaskan sebagai berbaloi untuk disimpan. Berbaloi yang saya maksudkan adalah sesuatu filem atau video yang boleh diambil pengajaran dan diterapkan dalam kehidupan.




Ada satu cerita Jepun, lebih kurang dalam 10 episod kalau tak silap. Judulnya Satorare (terjemahan bahasa Inggerisnya berbunyi The Transparent). Nama pelakon-pelakonnya saya tak ingat. Cuma sejak kebelakangan ini, saya menyedari banyak kejadian (ataupun perkara) yang berlaku disekeliling yang saya nampak boleh dikaitkan dengan cerita The Transparent ini.


Premis cerita ini berlegar sekitar watak seorang doktor muda yang bernama Kenichi. Dan Kenichi merupakan seorang satorare (satorare merujuk kepada individu yang mempunyai kebolehan untuk orang lain mendengar setiap sesuatu yang difikirkan oleh satorare itu; maksudnya, orang lain yang berada berhampiran dengan satorare itu boleh mengetahui setiap sesuatu yang terlintas di fikiran satorare itu).


Dan ada satu unit khas (lupa pulak apa nama unit tu) yang semacam FBI, yang ditugaskan untuk mengawal interaksi orang-orang kenalan satorare itu (dengan menyamar sebagai tukang cuci, pesakit hospital etc.) supaya satorare itu tak menyedari yang orang sekelilingnya dapat mendengar setiap apa yang difikirkannya. Dalam cerita tu, digambarkan secara saintifik (baca: fiksyen) yang satorare itu akan menghadapi tekanan ataupun mungkin boleh membunuh diri sekiranya dia menyedari dia adalah seorang satorare. Setiap perkara yang baik, buruk, peribadi akan terdedah sekiranya seseorang itu mempunyai kebolehan satorare (tanpa disedari). Yang jelasnya, semua orang mengetahui secara teliti tentang satorare itu tanpa dia mengetahui dia adalah seorang satorare.


Nak dijadikan cerita, Dr Kenichi (satorare tu) yang berimpian untuk menjadi pakar bedah tapi tak kesampaian (pada awalnya) kerana setiap fikirannya (keraguannya dan kelemahannya) dapat didengari oleh ahli keluarga pesakit-pesakit yang memerlukan pembedahan. Oleh sebab itu, pengarah hospital mengarahkan Dr Kenichi bertugas di klinik pesakit luar sahaja. Latar tempat utama dalam cerita Satorare itu digunakan sebaik mungkin oleh pengarah cerita itu (Takamaru Masakata) untuk mengembangkan watak serta konflik yang dialami oleh Dr Kenichi dalam menghadapai suatu kebolehan yang dia sendiri tidak menyedari yang dia miliki. Bermula dari kisah percintaan Dr Kenichi, penyingkiran dia dari hospital, pertemuan dengan satorare yang lain, hubungan Dr Kenichi dengan ibunya hinggalah ke titik akhir cerita di mana Dr Kenichi akhirnya sedar yang di adalah seorang satorare (akibat ada seorang budak kecil yang terlepas cakap kat Dr Kenichi), semuanya bermula dengan konsep asal sebuah kelebihan manusia yang fikirannya boleh didengari oleh orang lain, satorare. The transparent.


***


Jadi, apa kaitannya satorare dengan kehidupan kita? Satorare itu sebuah kisah fiksyen, dan kehidupan kita adalah sebuah realiti.


Saya nak kaitkan apa yang saya dapat dari cerita Satorare tu dengan sebuah realiti yang kita perlu faham dalam hidup kita. Saya nak kaitkan dengan hadith ke-20 dalam Hadith ‘Arbain susunan Imam An-Nawawi.




Daripada Abu Mas'uud 'Uqbah ibn 'Amru al-Ansarie al-Badrie r.a. beliau berkata: Rasulullah SAW telah bersabda:


Sesungguhnya antara kata-kata ungkapan Kenabian terdahulu yang dapat diketahui dan dipetik oleh manusia ialah: Jika engkau tidak malu, maka lakukanlah apa sahaja yang engkau mahu.


(Hadis riwayat al-lmam al-Bukhari)


Saya nak kaitkan cerita Satorare itu dengan realiti hidup kita, malu. Apa kaitannya?


Apabila kita lihat sekeliling, manusia mula bertindak sesuka hati. Seolah-olah takde undang-undang yang boleh mengekang sejauh mana kemampuan manusia untuk bertindak. Bermula dari umur yang muda remaja, hinggalah ke umur tua yang hamper binasa, kebanyakkan manusia bertindak sesedap rasa.


“Eh, Facebook aku, aku punya suka lah nak post ape. Kau peduli ape?!”


“Pakcik, toksah la nak mengada-ngada tegur anak orang. Anak pakcik pun same je!”


“Alah, budak perempuan yang pakai tudung same je dengan yang tak pakai tudung. Yang free hair tu kadang-kadang lagi baik dari yang bertudung tau tak?!”


Dan bermacam-macam lagi excuse(s) yang kita boleh dengar.


Jadi, apa puncanya manusia mula bertindak macam tu? Sentiasa ada alasan untuk melepaskan diri dari kekurangan masing-masing. Dari sekecil-kecil amalan, hinggalah ke tahap tertinggi pemerintahan, ada saja alasan.


Dari semudah-mudah (atau seremeh-remeh menurut definisi kini) urusan, kita selalu mendedahkan kejahilan kita. Dari urusan makan minum, hinggalah ke urusan pentadbiran negara. Dari perkara asas seperti menutup aurat, hingga ke urusan nasional seperti ketenteraan. Setiap satunya mendedahkan kejahilan kita.


Dan dari kejahilan itu, terzahirlah satu perkara yang kita belajar dari hadith ke-20 tadi: kita semakin tak malu. Tak malu dengan siapa?


Kita bukan tak malu dengan ustaz kalau kita tak tahu solat.


Kita bukan tak malu dengan ustazah kalau kita tak tutup aurat.


Kita bukan tak malu dengan budak-budak kecil kalau kita tak pandai baca Quran.


Kita bukan tak malu dengan Aceh ataupun Brunei kalau kita belum cukup Islami dalam pemerintahan.



Sebenarnya, mungkin kita sudah tidak malu dengan Allah. Tuhan yang menguasai segenap rasa angkuh dan kebiadapan kita. Mungkin jugak kita sudah tidak malu dengan Rasulullah. Yang diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang baik.


Berapa ramai yang membaca doa makan apabila makanan sudah berada di depan mata? Jamah je lah, takyah nak doa-doa. Bace dalam hati je.


Nak melangkah keluar dari rumah baca doa? Ish, dah lambat dah ni!


Baca Quran kejap lepas solat? Nak ke Midvalley pulak lepas ni. Cepat la wei.


Kita semakin tak malu. Dengan Allah, dengan Rasulullah.

No comments: