Wednesday, January 4, 2012

Titik tolak 2012.


Tahun 2012, kita mulakan dengan melihat ke belakang. Deretan tahun yang berlalu kini hanya tinggal susunan angka jika kita gagal mengambil pengajaran daripadanya. Bagaimana kita seharusnya melihat sejarah? Syaykhuna Abu 'Ammar berpesan dalam kitab al-Munthalaq mengenainya,


"Analisa sesuatu peristiwa, penafsiran sejarah dan penjelasan sebab tersembunyi terhadap natijah yang tampak.. kesemuanya itu bergantung mengikut akidah penganalisis dan penafsir tersebut dan menurut juga neraca yang digunakan bagi mengukurnya. Ini melibatkan semua fenomena samada sosial, politik mahupun ekonomi.


Dari sinilah berlaku perbezaan ketara dalam penafsiran dan ijtihad. Seorang beriman akan dapat melihat dengan jelas hubungan di antara natijah dengan peristiwa-peristiwa dan keadaan disekelilingnya, seolah-olah ia boleh dilihat, disentuh dengan tangannya, dikupas lalu terbukalah kulit yang menutupnya. Tetapi, si kafir, jahiliyyah atau fasik tidak dapat melihat kesemua ini kerana hatinya telah tertutup oleh kelalaian, hawa nafsu dan syahwat.


Perbezaan begini semuanya adalah disebabkan oleh perbezaan neraca.


Di antara fenomena sejarah terpenting yang berbeza penafsiran atau analisanya ialah fenomena gejala sosial, kemunduran dan keruntuhan tamaddun yang berlaku selepas sesuatu kemajuan sains, binaan dan kebudayaan yang tinggi. Kejatuhan ini berlaku secara beransur-ansur sehingga berakhir dengan kemusnahan total mengejut oleh satu kuasa luar biasa.


Si kafir dan fasik berlegar-legar berputar di lingkaran kosong dan semuanya adalah andaian bingung terhadap fenomena ini. Tetapi bagi muslim, mereka mempunyai satu kata putus dan pasti di dalam tafsirannya. Ia di ambil dari al-Quran dan sunnah Rasulullah s.a.w. ..."


Tahun 2012, kita melihat semula ke belakang. Pena telah diangkat, dan lembaran telah pun kering. Apakah peranan kita dalam menjadikan gerabak perjalanan kemanusiaan ini diredhai Allah? Adakah kita sekadar memerhatikan dari tepi? Atau turut sama menggerakkan jalinan gear yang terus bergerak laju itu? Atau adakah kita hanya menjadi sebahagian dari kerak karat yang memperlahankan ketibaan pertolongan dari Allah?


Apa pun, untuk permulaan 2012 ini, kita dengarkan pula wawasan yang diletakkan oleh pejuang yang benar pada bicara dan amalnya, Sayyid Qutb,


"Aku telah hidup di bawah bayangan al-Quran dan di sana aku melihat jahiliyah berkecamuk di muka bumi ini dan aku melihat minat dan cita-cita penduduk dunia ini amat kecil dan kerdil, aku melihat pemuja-pemuja jahiliyah itu berbangga-bangga dengan ilmu pengetahuan yang ada pada mereka, iaitu ilmu pengetahuan kanak-kanak , kefahaman dan pemikiran kanak-kanak, minat dan cita-cita kanak-kanak sama seperti pandangan seorang tua kepada mainan kanak-kanak, percubaan kanak-kanak dan keteloran lidah kanak-kanak. Aku merasa kaget dan hairan mengapa manusia jadi begini, mengapa mereka jatuh ke dalam lumpur yang kotor dan penuh penyakit ini? Mengapa mereka tidak mendengar seruan Allah Yang Maha Tinggi dan Maha Besar, iaitu seruan yang dapat meluhur, memberkati dan membersihkan usia seseorang?"

Untuk 2012, ayuh kita terus bergerak.

No comments: